rap

Shah Iskandar mohon maaf

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Shah Iskandar tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Instagram Live apabila tindakannya menjual alat ujian pengesanan Covid-19 menerima kecaman ramai.

Pelakon Singapura itu turut dikecam kerana dikatakan mahu mengaut keuntungan selain perbuatannya itu dianggap melanggar undang-undang.

Shah berkata, dia tidak menyangka niat baiknya untuk menjual kit pengesanan Covid-19 menerima kecaman dan kritikan hebat.

“Saya sedar bahawa saya tidak sensitif terhadap isu yang melanda seluruh dunia ketika ini. Niat saya hanya untuk membantu orang yang tidak berkemampuan bagi menjalani ujian terbabit kerana ia memerlukan kos yang tinggi.

“Disebabkan ia membabitkan sensitiviti dan dituduh mengambil kesempatan mahu kaut keuntungan, saya dengan rendah diri sekali lagi memohon maaf. Terima kasih kerana menyedarkan benda itu tak sepatutnya dijual," katanya.

Enggan mengeruhkan keadaan Shah turut memadam gambar penjualan kit terbabit di Instagram.

“Saya hormat segala pandangan orang ramai apabila perkara ini berlaku. Saya juga tidak mahu orang ramai keliru atau panik. Alat ujian itu hanyalah peringkat awal untuk mengenal pasti diri dijangkiti wabak itu. Jika didapati positif anda disarankan ke klinik berhampiran namun jika sebaliknya Alhamdulillah. Tapi anda masih perlu duduk di rumah dan mengikut segala peraturan ditetapkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 2:29pm
    d