rap

Mamat Khalid 'merisik' Ogy

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENGARAH Mamat Khalid melahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan pelakon terkenal Fauziah Ahmad Daud menerusi filem terbaharunya, Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah.

Mamat berkata, usaha kini sedang dilakukan pihaknya untuk memujuk Fauziah atau Ogy agar bersetuju melakonkan watak Kak Roziah.

"Saya belum menghubungi Ogy lagi kerana takut dan amat hormat kepadanya. Saya nampak dia yang paling sesuai untuk watak ini.

"Tujuan saya ambil Ogy kerana nak meminjam aura dan kemantapan lakonannya. Dia memang bagus dan saya nak jadikan karakter ini bermutu dan bukan saja-saja wujudkan.

"Saya sudah sediakan wakil untuk merisik Ogy dan apabila dia senang barulah saya nak pergi berjumpa dia," katanya.

Mamat yang sering menghasilkan filem pecah panggung berkata, skrip Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah sudah siap sepenuhnya dan dia sudah membayangkan dari awal lagi untuk memberikan watak itu kepada Ogy.

"Saya nampak watak itu adalah dia. Kalau dia tak terima barulah saya buka kepada orang lain, tapi keutamaan memang buat Ogy.

"Ceritanya, Kak Roziah adalah bidan kampung. Wataknya serius tapi watak di sekeliling kelakar kerana turut menampilkan Bell Ngasri dan ramai lagi.

"Berkenaan judulnya yang agak panjang, bukanlah menghairankan kerana sebelum ini saya pernah menghasilkan drama Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel yang lagi panjang sebutannya," katanya.

Menurutnya, dia juga sedang dalam proses menyiapkan skrip filem berkaitan muzik Pop Yeh Yeh yang pernah menjadi fenomena pada era 1960-an.

"Tapi sebelum siapkan filem ini, saya akan buat penggambaran filem Classmate Hantu Kak Limah, Hantu Kak Roziah terlebih dahulu.

"Dalam pada itu, saya juga akan keluarkan filem terbaharu berjudul

Manaf Karaoke lakonan Joey Daud, Mona Allen, Pekin, Ropie dan ramai lagi pada Ogos nanti.

"Filem ini sudah dua tahun disimpan dan ambil masa untuk disiapkan kerana diterbitkan oleh orang perseorangan. Banyak kerja yang perlu disiapkan," katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 3:52pm
d