rap

Arwah seorang 'happy go lucky' - Muaz

Oleh Georgie Joseph

Penyampai radio Kool FM, Muaz Mohamed berasa kehilangan besar apabila bapa saudaranya, Idris Atan disahkan meninggal dunia akibat jangkitan wabak Covid-19, semalam.

Muaz juga terkilan tidak sempat berjumpa mahupun hadir ke pengebumian arwah yang disifatkannya individu yang memiliki keperibadian mulia.

“Paling saya terkilan adalah sudah lebih tiga bulan tidak berjumpa dengan arwah. Selasa lalu, saya mendapat tahu dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas mengalami demam selama beberapa hari.

“Sepanjang tempoh itu, kami sentiasa mengikuti perkembangannya namun arwah pergi juga semalam. Hanya bapa saya saja yang dapat hadir pengebumiannya manakala kami tidak boleh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Semestinya saya sangat sedih disebabkan sangat rapat dengan arwah bahkan pernah tinggal bersamanya sewaktu kecil dulu. Arwah adalah seorang yang sentiasa ‘happy go lucky’, ringan tulang, dekat dengan agama, dan suka berjenaka,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Muaz juga meminta semua peminat dan rakyat Malaysia mendoakan agar keluarga arwah juga dijauhi daripada sebarang perkara buruk selepas dua anak arwah disahkan positif Covid-19.

“Sekarang dua sepupu saya yang juga anak arwah kini berada dalam kuarantin selepas disahkan positif. Mereka juga tidak dapat hadir ke pengebumian itu.

“Kini kami risaukan keadaan isteri, anak, dan cucu arwah yang masih menunggu keputusan pemeriksaan kesihatan mereka. Saya mohon doa semuanya agar mereka berada dalam keadaan yang baik-baik,” katanya.

Terdahulu, Muaz berkongsi mengenai berita sedih itu menerusi laman sosial dan menyifatkan perkara itu adalah kejutan besar buat seluruh keluarganya selain berita paling ditakuti mereka.

Perkara sama juga dikongsikan anak arwah, Syahira Idris di laman Twitter.

Menerusi laporan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Idris adalah antara empat mangsa yang disahkan meninggal dunia semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 22, 2020 @ 4:00pm
    d