rap

Buletin Utama catat tontonan tertinggi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PROGRAM berita nombor satu, Buletin Utama (BU) di TV3 mencatat peningkatan 53 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Johan Ishak berkata, daripada peratusan itu BU mencatat jumlah penonton 3.44 juta dengan 42.3 peratus syer penonton pada 18 Mac 2020.

“Sebagai bukti kebanyakan rakyat Malaysia akur tinggal di rumah masing-masing, stesen televisyen di bawah naungan Media Prima mencatat peningkatan tontonan di mana BU di TV3 sahaja tmencatat peningkatan 53 peratus. Malah, saluran 8TV menerusi Midday Mandarin dan ntv7 (Mandarin 7) turut memecah rekod masing-masing.

“Untuk TV3, BU mencatat jumlah penonton 3.44 juta dengan 42.3 peratus syer penonton pada 18 Mac 2020. Slot berita pada waktu tengah hari iaitu Buletin 1.30 juga meningkat kepada 1.4 juta penonton pada hari itu.

“Bagi Mandarin News (8TV), kadar tontonan bagi penonton Cina meningkat 45 peratus dengan catatan 1.1 juta penonton dan 59.3 peratus syer penonton. 8TV Midday Mandarin juga pecah rekod dengan jumlah penonton paling tinggi iaitu 617,000 penonton dengan syer penonton sebanyak 60 peratus pada hari sama. Manakala Mandarin 7 (ntv7) juga mencatat kadar tontonan tertinggi pada 564,000 penonton ataupun 49 peratus syer penonton Cina pada waktu petang,” katanya.

Sementara di platform digital dan media sosial, Johan berkata, jumlah tontonan turut meningkat berdasarkan Nielsen Audience Measurement.

“Jumlah tontonan digital di laman sosial Facebook dan YouTube dari 16 sehingga 18 Mac mencatatkan 13.1 juta tontonan untuk BU dan Buletin 1.30, 6.8 juta tontonan untuk 8TV Mandarin News dan 8TV Midday Mandarin manakala 4.6 juta tontonan untuk ntv7 Mandarin 7,” katanya.

Untuk maklumat terkini, sila rujuk laman media sosial di Facebook, Instagram dan Twitter @TV3Malaysia @TV9Malaysia @ntv7malaysia dan juga Facebook 8TV @badukongjian Instagram @8TVChinese.

Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 2:06pm
d