rap

MummyDino Betty Rahmad tarik perhatian ramai

Oleh Georgie Joseph

“SAYA mahu menggembirakan rakyat Malaysia yang kini bimbang dengan penularan wabak Covid-19,” kata pelakon Betty Rahmad mengenai tindakannya mengenakan kostum dinosaur ketika membeli barangan keperluan di pasar raya semalam.

Video dia mengenakan kostum yang dipanggil MummyDino sambil membuat bayaran di kaunter dan menolak troli ke keretanya yang dimuat naik di Instagram menjadi tular selain mendapat banyak respon positif daripada netizen.

Betty ketika dihubungi berkata, dia tidak terfikir pun tindakannya itu akan menjadi tular, namun teruja apabila ramai memberikan respon positif serta terhibur dengan gelagatnya.

“Idea itu sebenarnya datang secara spontan. Saya memang sudah lama simpan kostum itu sebelum Covid-19 ini melanda.

“Jadi, sempena ulang tahun kelahiran saya semalam, saya menyarung kostum itu ke pasar raya untuk membeli barang keperluan rumah. Kebetulan barang pun sudah habis dan pada masa sama, saya memang paranoid keluar rumah.

“Tidak sangka pula video itu akan menjadi tular dan mendapat respon luar biasa. Apapun, saya tiada niat lain cuma untuk membawa kegembiraan kepada semua yang menonton video berkenaan,” katanya.

Menurut Betty, dia juga tahu tindakannya itu pasti menjadi perhatian di pasar raya berkenaan terapi dia ada tidak rasa malu.

“Tiada rasa ragu-ragu pun sewaktu nak sarung kostum itu. Sebaliknya, sewaktu sampai di pasar raya itu dan keluar kereta, tiba-tiba rasa gementar pula seakan saya nak pergi merompak pula.

“Dari pintu masuk lagi, orang sudah ambil gambar dan video saya. Dalam pasar raya pun, ramai juga yang gelak-gelak dan senyum tapi saya buat biasa saja membeli barangan diperlukan,” katanya.

Video berkenaan mendapat tontonan lebih 250,000, 900 komen serta 24,000 tanda suka.

Selain itu, Betty turut memuat naik video cara-cara dia memakai kostum itu di rumah sebelum keluar ke pasar raya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 5:07pm
    d