rap

Sebar mesej positif

Oleh Syafil Syazwan Jefri

GELARAN sebagai selebriti tidak sekadar membawa nama yang penuh dengan glamor dan populariti sahaja, tetapi juga menggalas satu tanggungjawab untuk memberikan sesuatu yang baik kepada masyarakat.

Bagi pelakon, Azrel Ismail, dia sendiri mengakui bahawa ini adalah masanya untuk mereka yang bergelar selebriti untuk membantu mencurahkan bakti kepada masyarakat.

Tidak hanya material semata-mata, mereka yang bergelar selebriti juga boleh menggunakan pengaruh mereka untuk menyampaikan mesej, sekali gus menjadi suara positif buat masyarakat.

“Situasi getir yang berlaku ketika ini boleh dikatakan sangat memerlukan sokongan padu daripada semua pihak. Sebagai selebriti, sedikit sebanyak saya berikan bantuan untuk menyebarkan mesej positif kepada pengikut terutama di media sosial.

“Bantuan dan sokongan tak semestinya dalam bentuk wang ringgit, tetapi juga bantuan dari segi sokongan moral dan antara yang saya lakukan adalah membuat video pesanan masyarakat untuk mengajak orang ramai supaya bersama-sama menjaga keselamatan,” katanya.

Bercerita mengenai tindakannya itu, Azrel berkata, sedikit sebanyak, ada pengikut di media sosialnya yang melihat dan memahami mesej ingin disampaikan.

Bercerita mengenai pengalamannya menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan,

Azrel berkata, ini masanya untuk dia berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Secara peribadi, saya memang jenis individu yang suka berada di rumah memandangkan ketika bekerja pun, banyak masa dihabiskan di luar. Jadi, kalau ada hari cuti, saya akan fokuskan sepenuh masa di rumah.

“Sejujurnya, pada hari pertama, saya terfikir juga apa nak buat dalam tempoh dua minggu ini. Namun, bila masuk hari kedua dan seterusnya, tak ada masalah pun.

“Banyak benda yang saya boleh buat ketika berada di rumah contohnya dapat luangkan masa bersama keluarga dan berehat,” katanya.

Ditanya mengenai kerugian yang ditanggung akibat penularan wabak Covid-19, Azrel berkata, kerugiannya lebih kepada penyusunan jadual.

“Saya sepatutnya menjalani penggambaran untuk dua drama dibintangi iaitu Bicara Cinta dan Halim Halima. Namun, disebabkan penularan Covid-19 dan arahan PKP, penggambaran dihentikan dan jangkaan disambung semula pada 3 April ini, tetapi bergantung juga pada keadaan.

“Bila situasi ini berlaku, banyak jadual yang saya dah susun, terpaksa diatur semula.

“Saya jenis orang yang kalau boleh nak berehat sepanjang Ramadan. Jadi, bila benda ini berlaku, tentunya banyak jadual penggambaran akan berganjak dan mungkin dijalankan pada Ramadan nanti,” katanya.

Ditanya mengenai bayaran, Azrel juga sepatutnya menerima bayaran daripada pihak produksi untuk salah satu projek drama lakonannya pada minggu ini, namun ditunda.

“Pihak produksi memaklumkan bahawa bayaran untuk kerja lakonan ditangguhkan. Untuk saya, tak jadi masalah kerana faham situasi berlaku. Cuma, ada beberapa pembayaran untuk keperluan saya yang ‘tergantung’ dan tak dapat dilunaskan.

“Yang pasti, saya sentiasa berdoa supaya semua dugaan dihadapi rakyat dan negara ini akan kembali seperti biasa. Malah, selepas PKP, harapnya kita semua dapat menjalani semula kehidupan seperti biasa,” katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 6:30am
d