rap

Ashraf Muslim dijangkiti Covid-19

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON Ashraf Muslim, 39, menjadi individu kesembilan yang disahkan mendapat jangkitan wabak Covid-19 selepas pulang dari menjalani penggambaran drama berjudul Demi di Inverness, Scotland pada 31 Mac lalu.

Selepas lama mendiam diri akhirnya Ashraf berlapang dada berkongsi kenyataan sebenar bahawa dia juga positif dijangkiti pandemik yang menular di seluruh dunia ini.

Ashraf kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh yang juga menempatkan seorang lagi pelakon dalam drama berkenaan iaitu Puteri Aishah.

"Saya disahkan positif Covid-19 pada 12 April lalu dan sangat sebak apabila mengetahui keputusan itu. Namun, saya redha dengan pilihan Allah. Ada hikmah di sebaliknya.

"Maafkan saya keluarga dan sahabat. Tolong doakan yang baik-baik buat saya dan semua pesakit yang menerima rawatan di hospital ketika ini," katanya.

Ashraf juga berterima kasih kepada semua doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang menjadi barisan hadapan negara dalam usaha menangani penularan wabak Covid- 19 ketika ini.

"Kepada isteri-isteri dan anak- anak iaitu Sarah, Adam, Anas dan Safiyyah doakan ayah semoga cepat pulih daripada penyakit ini. Ayah rindu sangat pada keluarga.

"Jangan risau, ayah baik-baik saja di sini (hospital) sekarang. Alhamdulillah, ayah masih boleh solat dan membaca Al-Quran macam biasa,' katanya.

Ashraf juga meminta semua orang supaya berprasangka baik pada Allah. Katanya, hanya Dia yang memberi penyakit dan Dia juga adalah penyembuhnya.

Pada perkongsian video berdurasi dua minit dan 21 saat dimuat naik di Instagram TV (iGTV) itu, Ashraf dilihat sebak ketika menaiki ambulans yang membawanya ke hospital.

Video yang sudah ditonton lebih 12,000 kali oleh warganet di Instagram Ashraf, turut menerima lebih 250 komen yang kebanyakannya meminta pelakon terbabit terus positif, tabah dan banyakkan doa kepada Allah SWT.

Terdahulu, Ashraf menjalani penggambaran drama 26 episod untuk RTM di Scotland sebelum kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini berkuat kuasa 18 Mac lalu.

Pasukan produksi drama disertai 18 individu ke Scotland itu bagaimanapun disahkan lapan orang daripadanya sebelum ini dijangkiti Covid -19

Menerusi laporan Harian Metro melaporkan terdapat lima kru termasuk pengarah berserta dua pelakon, Puteri Aishah, Puteri Rayyana Rayqa dan ibu Rayqa iaitu Syira disahkan positif wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 2:18pm
    d