rap

3 kali cuba menjadi [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

MENYAMBUT Ramadan pada tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menuntut penyanyi, Aina Abdul, 27, belajar memasak.

Menurut Aina, sambutan Ramadan kali ini di luar kebiasaan apabila dia terpaksa duduk berjauhan daripada keluarga yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan dan dirinya di Kuala Lumpur.

Disebabkan itu, Aina yang popular menerusi lagu Sumpah memasak makanan kegemaran untuk dijadikan juadah berbuka puasa.

Terbaharu, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani menyediakan masakan ayam goreng berempah selama tiga hari berturut-turut.

"Saya memang suka makan ayam goreng. Kalau ke restoran makanan segera, saya mesti pesan ayam. Jadi, saya tanya kakak resipi ayam goreng.

"Dia cakap, kalau nak masak ayam goreng ala Mcdonalds atau KFC, baik beli saja. Kalau nak buat sendiri takkan jadi sama. Itu yang saya minta resipi ayam goreng berempah.

"Ia mudah sangat sebab campak serbuk saja. Tapi, disebabkan saya pertama kali nak cuba buat, memang tak jadi. Hari kedua saya buat lagi ayam menjadi hitam pula. Hari ketiga baru menjadi. Kiranya, saya nak juga masak sampai jadi," katanya.

Aina yang baru muncul menerusi single Semalam juga mengakui dia mula gian untuk terus memasak.

Malah, dia sanggup meminta resipi daripada rakan jika teringin untuk memasak sesuatu juadah.

"Sebenarnya saya baharu belajar masak tiga hari lalu. Saya jenis cepat ikut resipi, cuma malas saja. Namun, apabila sudah mula akan kemaruk masak lagi. Rasa seronok pula. "Selepas ini saya teringin nak makan kari ikan. Kari ikan cara orang India yang tak perlu letak santan. Jadi, saya akan minta resipi daripada rakan berbangsa India. Tak sabar nak buat nanti," katanya.

Berkongsi mengenai resipi ayam goreng berempah, Aina berkata, ia mengambil masa 30 minit untuk disediakan.

"Sebelum ini kalau di kampung, emak yang selalu masak. Saya jarang sangat sebab tak pandai.

"Sekarang dalam tempoh PKP memang tak boleh buat apa. Tambahan pula saya duduk menyewa dengan rakan kolej. Jadi, segalanya kena buat sendiri. Itu yang saya cuba nak masak. Menu ini tak susah, ringkas dan tak ambil masa lama disediakan. Cuma, jadi atau tak," katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 6:30am
d