rap

Buat penonton terus 'melekat'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

SEJAK kebelakangan ini, drama Korea iaitu The World Of The Married semakin menjadi sebutan pada kalangan pengguna laman sosial.

Drama berkenaan bukan saja tular, malah mencetuskan fenomena apabila menjadi drama yang mencatat jumlah tontonan tertinggi, kira-kira 6.63 peratus ketika episod pertama disiarkan, sekali gus mencipta sejarah dalam saluran penyiaran televisyen di Korea.

Tidak hanya dalam kalangan orang biasa, drama yang menampilkan lakonan hebat Kim Hee-Ae, Park Hae-Joon, Han So-Hee dan Park Sun-Young itu turut menjadi kegilaan golongan artis.

Antara yang tidak ketinggalan mengikuti cerita itu adalah pelakon, Rita Rudaini.

"Saya memang penggemar cerita K-Drama. Sebelum ini saya suka cerita romantik dan sweet.

Bukan hanya jalan cerita, tapi hero mereka yang kacak. Itu semua diakui.

"Tapi, apabila muncul drama ini saya terus 'melekat'. Episod pertama saja sudah buatkan penonton sakit hati. Ia membuatkan saya tidak lepas untuk menonton episod seterusnya.

"Tidak sabar setiap kali nak menunggu episod baharu semata-mata nak tahu apa yang akan terjadi. Perlu diakui, jalan cerita dan lakonan mereka sangat bagus," katanya.

Mengenai drama itu, episod keenamnya yang disiarkan, sudah berjaya mengalahkan rating terbaik drama popular, Itaewon Class.

Rating drama bersiri 16 episod semakin meningkat dan menjadi sohor kini atau trending di media sosial setiap kali tayangan. Bukan sahaja dalam negara, tetapi turut tular di Indonesia.

Berbaki empat episod tayangan di stesen TV Korea, peminat K-Drama di Malaysia kini sudah boleh menonton menerusi platform penstriman dimsum entertainment, sejak 1 Mei lalu.

Pelakon utamanya, Kim Hee Ae memuji bakat Han So Hee dalam membawakan watak antagonis sebagai Yeo Da Kyung.

Memetik laporan Soompi, Hee Ae berkata, So Hee komited dengan kerjanya dan mampu pergi jauh.

"Dia berbakat dan mampu menjiwai karakter dengan baik. Jika lakonannya begitu sempurna pada usia sekarang, saya tertanya-tanya, bagaimana bakat Sob Hee mampu terserlah ketika mencapai usia saya.

"Saya tidak boleh membayangkannya kerana dia sangat rajin," ujar Hee Ae yang kini berusia 53 tahun.

Dalam pada itu, Hee Ae berkata, So Hee juga adalah wanita yang sangat cantik.

"So Hee sangat cantik dalam drama The World Of The Married. Saya rasa, perkataan ini tidak cukup untuk menggambarkan kecantikannya," ujarnya.

Dekat dengan jiwa penonton, The World Of The Married mengisahkan seorang doktor bernama Ji Sun-Woo (Hee Ae) yang memiliki kehidupan hampir sempurna. Sungguhpun memiliki segala-galanya, Ji Sun-Woo mengesyaki suaminya, Lee Tae Oh bermain kayu tiga.

Hal ini kerana, Ji Sun-Woo menjumpai pelembap bibir rona merah dalam kocek jaket suaminya.

Benar seperti dijangka, Ji Sun-Woo mendapati suaminya berlaku curang. Lebih memburukkan keadaan, suaminya berselingkuh dengan rakannya sendiri dan sejak itu, kehidupan mereka mula berubah.

Untuk rekod, The World Of The Married adalah adaptasi drama bersiri dari Britain, Doctor Foster yang pernah disiarkan di BBC One pada 2015 dan 2017. Ia dibintangi Suranne Jones dan Bertie Carvella.

Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 6:30am
d