rap

'Macam Sajat? Tak kisahlah' – Baki Zainal

Oleh Norhayati Nordin

TAMPIL bertuala di kepala dan berkemban kain batik dalam video memasaknya di media sosial, pengacara Baki Zainal, 37, disamakan segelitir warganet dengan usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau dikenali sebagai Nur Sajat.

Baki berkata, walaupun lucu disamakan dengan Sajat, namun apa yang ditampilkan dalam video memasak itu sekadar kandungan hiburan untuk menceriakan masyarakat yang dirasakan sudah cukup tertekan dengan situasi Covid-19 ketika ini.

"Lagipun, saya suka imbas semula memori ketika kanak-kanak dahulu. Saya masih ingat, pada era 1980-an kebanyakan ibu yang duduk di rumah akan berkemban kain batik atau memakai baju kelawar ketika memasak.

"Apa yang saya cuba persembahkan itu untuk gembira dan suka-suka sahaja. Malah, penampilan sebenar saya berjanggut dan ada misai. Memang buruklah kalau saya disamakan macam perempuan, apatah lagi Sajat. Namun, dalam video itu pun saya tidak membuka aurat," katanya.

Baki berkata, dia bukan sengaja mahu menjadi wanita dalam video itu. Ini kerana di Pantai Timur, ada ramai lelaki yang memakai kain batik.

Mengakui komen ditulis warganet yang menyamakan dia seperti Sajat adalah keterlaluan, Baki berkata, dia  bertindak membuang komen-komen berbaur negatif itu.

"Saya suka perkara positif seperti gembira, ceria dan menghiburkan. Jadi, mana-mana komen atau kritikan menjurus ke arah negatif oleh warganet di media sosial saya, memang akan dibuang.

"Apa yang saya kongsi dan muat naik di media sosial seperti Instagram dan Facebook bukan untuk nak tular atau mahu kumpul 'likes', tetapi sekadar hiburan dan itu pun hanya video memasak, kongsi resipi," katanya.

 

Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 7:25pm
d