rap

Cabaran baharu Megat Rahim

Oleh Sudirman Mohd Tahir

DUA tahun lalu, penyanyi remaja berusia 18 tahun ini pernah muncul dengan lagu sulung berjudul Sinar.

Kejayaan lagu itu menjadikan nama Megat Rahim cukup dikenali dalam kalangan peminat dan pencinta muzik pop jazz.

Terbaharu, Megat Rahim atau nama sebenarnya Megat Abdul Rahim Abdul Razak melancarkan lagu Sudahlah hasil ciptaan sepenuhnya komposer muda, Chubb-E.

Menariknya, bagi lagu keduanya itu Megat mencuba pula genre raggae yang diselitkan elemen Latin.

Megat mengakui, genre itu memberikan cabaran baharu buatnya dan berharap ia mampu menonjolkan lagi sisi lain dalam dirinya sebagai penyanyi.

"Diakui, pada awalnya saya sukar buat keputusan sama ada nak menyanyikan lagu ini atau tidak. Sebab ia genre yang jauh berbeza daripada lagu pertama dan bukan 'forte' muzik saya.

"Tapi, sebagai penyanyi saya perlu mencuba genre lain sekali gus ingin menjadi penyanyi yang versatil. Insya-Allah, akan datang saya nak mencuba muzik Hip Hop pula," katanya.

Lagu Sudahlah yang dilancarkan sekitar dua bulan lalu, kini mula dimainkan stesen radio utama negara.

Perkara itu, menjadikan Megat bertambah yakin jika lagu nyanyiannya sudah dapat diterima dengan baik oleh peminat muzik tanah air.

"Alhamdulillah, saya difahamkan beberapa radio utama sudah menyiarkan lagu ini dan masuk carta lagu juga. Saya dimaklumkan oleh family iaitu panggilan kepada peminat saya.

"Mereka sentiasa kemas kini dan 'tag' di IG setiap kali lagu Sudahlah diputar. Tentu sahaja saya berasa sangat teruja.

"Malah, saya berharap lagu ini akan popular, disukai dan terus mendapat tempat. Sekali gus, orang ramai akan mengenali saya menerusi lagu ini," katanya.

Berkongsi mengenai lagu itu, Megat mengakui ia susah ketika mula dirakamkan.

"Genre ini pertama kali saya nyanyikan. Ternyata ia bukan mudah. Ia lain daripada sebelumnya dan susah nak tangkap.

"Tapi, saya seronok dan cuba yang terbaik. Pertama kali rakam, ia ambil masa di antara empat ke lima jam. Kemudian, saya berehat seminggu sebab menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Selepas itu, baharu saya rakam kali kedua. Alhamdulillah, saya puas hati dengan hasilnya dan tidak menjangka berjaya menyanyikan genre ini," katanya.

Sama seperti kebanyakan penyanyi baharu lain, Megat Rahim juga berharap dan meletakkan sepenuh keyakinan terhadap lagu Sudahlah bagi membawa kerjayanya terus maju ke hadapan.

"Macam dikatakan, saya sentiasa suka mencuba benda segar. Dalam pada penyanyi lain muncul dengan lagu sedih, genre sebaliknya pula menjadi pilihan saya.

"Saya jenis yang gemar dengan lagu yang mudah didengar. Kalau boleh saya taknak terlalu terikut.

"Saya nak orang faham muzik dan jiwa. Sebab, itu saya memilih pop jazz sebagai muzik nak diketengahkan. Malah, ia juga diinspirasi daripada ibu bapa saya yang menyukai muzik jazz," katanya.

Dalam perkembangan lain, Megat Rahim turut membuka akaun Instagram (IG) baharu iaitu @megatrahim28 selepas akaun lama digodam.

Megat Rahim yang juga bekas pelajar di Sekolah Menengah Bandar Utama, menjadikan penyanyi seperti Bruno Mars, Michael Buble, Stevie Wonder dan Hael Husaini sebagai idola.

"Dua bulan lalu, saya pernah pegang gitar dan cuba mencari melodi. Ketika itu, rentak sudah ada tapi belum ada passion tulis lirik sendiri.

"Saya belum yakin ke arah itu. Mungkin, ia ambil masa sedikit," katanya.

Selain itu, Megat juga berkongsi dia bersedia untuk menyertai sebarang pertandingan membabitkan nyanyian bagi mencabar diri sebagai penyanyi.

"Sebenarnya, saya pernah menghadiri sesi uji bakat Big Stage musim pertama. Tapi, pada masa itu saya tak lepas sebab umur baru 16 tahun.

"Tahun ini, mungkin tak ada peluang, jadi saya nak mencuba tahun depan pula. Saya okey untuk bertanding dan sedia untuk menyanyikan apa saja genre lagu," katanya.

Khas buat peminat Megat Rahim, lagu Sudahlah edaran Najah Music ini boleh dimuat turun pendengar di semua platform.digital.

Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 6:15am
d