rap

'Saya tiada kena-mengena' – Khai Bahar

Oleh Najiy Jefri

 

PENYANYI popular Khai Bahar berharap namanya tidak diheret dalam isu membabitkan kegagalan penerbit yang juga pelakon terkenal Fauziah Ahmad Daud atau Ogy menjelaskan baki bayaran terhadap pelakon dan kru produksi teater Korupsi Dewan Semandung.

Khai yang bekerjasama dengan Ogy selaku penganjur konsert sulungnya di Istana Budaya berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Ogy, malah menimba pelbagai ilmu dengannya.

"Bagi individu yang ingin menuntut hak untuk setiap kerja yang dibuat dan tidak dapat apa yang dijanjikan itu adalah urusan mereka. Saya rasa tindakan mereka wajar. Sesiapa saja apabila melakukan sesuatu kerja mesti mahukan pulangan masing-masing.

"Namun dalam situasi saya sekarang, saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kak Ogy sepanjang kami bekerja dan berkenalan. Saya juga dapat menuntut ilmu dan perkara positif daripadanya," katanya menerusi video yang dimuat naik di Instagram.

Menurut Khai, dia berharap tiada lagi pihak yang mendesak untuk dia memberikan kenyataan dalam kemelut yang berlaku kerana itu bukan urusannya.

"Saya menerima banyak mesej di media sosial. Namun, saya rasa tiada sebab untuk masuk campur dan saya mohon jangan desak untuk saya terbabit sekali dalam isu ini. Saya agak bingung.

"Memandangkan sekarang ini kita sedang menyambut Ramadan, saya pun nak fokus dengan ibadah saya dan buat benda yang baik serta elok untuk didengar. Saya ingin memohon maaf sekiranya ada mengguris hati mana-mana pihak," katanya.

Konsert Khai Bahar : Dari Smule Ke Pentas Dunia yang sepatutnya berlangsung pada 27 dan 28 Mac lalu ditangguhkan hingga tarikh baharu yang akan diumumkan.

Konsert anjuran Ogy Ventures & Network Sdn Bhd itu terpaksa ditunda berikutan penularan Covid-19.

Terdahulu Harian Metro melaporkan bekas peserta Raja Lawak musim pertama, Che Mat membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Hussein Onn, Cheras bagi menuntut baki bayaran daripada Ogy.

Enggan membiarkan isu itu terus panas dalam kalangan netizen dan penggiat seni, Ogy tampil mengakui sedang berusaha untuk menjelaskan baki bayaran kepada barisan pelakon dan kru produksi teater Korupsi Dewan Semandung yang dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 2:10pm
d