rap

Manap Karaoke terus di rumah

Oleh Syafil Syazwan Jefri

WALAUPUN kerajaan sudah memberi kelonggaran dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak kelmarin hingga 12 Mei ini, ia tetap menjadi kekangan buat peminat filem tanah air untuk keluar menonton wayang memandangkan semua pawagam masih tidak dibenarkan beroperasi.

Sehubungan itu, pengarah filem popular, Mamat Khalid memberi alternatif kepada peminat setia filem-filemnya apabila bekerjasama dengan Astro dan menayangkan filem terbaharunya, Manap Karaoke di saluran Astro First bermula esok.

Manap Karaoke terbitan Enjit Enjit Semut Sdn Bhd dan Vision Studios (M) Sdn Bhd adalah filem komedi satira yang nampaknya bersesuaian dengan situasi semasa iaitu hiburan dibawa ke rumah bagi memudahkan penonton.

Filem ini mengisahkan Manap (lakonan Joey Daud) yang membuka perniagaan karaoke bergerak dari rumah ke rumah menggunakan lori yang dihias umpama pentas persembahan.

Bagi menyokong usahanya, rakannya Wahab B menawarkan lori bapanya dan menjadi pembantu kepada perniagaan Manap.

Apabila perniagaan mereka mendapat sambutan, ia menimbulkan rasa tidak puas hati Rauf Bogiba yang juga memiliki perniagaan karaoke.

Konflik timbul apabila Rauf menyerang Manap dan bermulalah 'peperangan' antara dua perniagaan itu.

Mamat berkata, Manap Karaoke bakal mengembalikan nostalgia lagu-lagu popular sekitar 1990-an.

"Keistimewaan filem ini bukan sahaja tertumpu kepada penceritaan dan watak semata-mata, tetapi juga mengembalikan nostalgia lagu-lagu popular sekitar 1990-an, yang masih diterima sehingga ke hari ini," katanya.

Menurutnya, kehadiran filem ini setidak-tidaknya dapat menghiburkan masyarakat yang tertekan dengan krisis Covid-19 yang melanda dunia.

"Saya anggap ini adalah masa yang sesuai untuk tampilkan filem komedi, lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang pasti ada antara kita yang risau, tertekan dan kebosanan.

"Jadi, saya harap karya ini dapat menghiburkan dan memberi semangat kepada penonton dengan jenaka serta lagu-lagu yang boleh dinyanyikan bersama. Ini juga adalah karya istimewa buat penonton dan peminat yang rindukan karya saya di pawagam," katanya.

Manap Karaoke juga menjadi filem Malaysia pertama yang ditayangkan terus ke kaca TV dengan kualiti filem sebenar seperti di pawagam.

Selain Joey, Manap Karaoke turut dibintangi Pekin Ibrahim sebagai Rauf Bogiba, Mona Allen (Jamizan), Ropie (Kamarulzaman), Sharwani NS (Wahab B), Imuda (Pak Mid), TJ Isa (Mat Khuda), Allahyarham Rab Khalid (Taiko Tai), Allahyarham Man Kadir (Tok Imam), Ziema Din (Kak B Vavavom) dan ramai lagi.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 6:15am
d