rap

Scha Alyahya hargai polis dan tentera

Oleh Syafil Syazwan Jefri

 

PELAKON dan pengacara popular, Scha Alyahya menerima surat penghargaan daripada Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas sumbangan yang diberikannya kepada pasukan itu.

Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir berkata, dia dan suami yang juga pelakon dan pengacara Awal Ashaari terpanggil untuk menyumbang kepada barisan hadapan iaitu anggota polis dan tentera dalam membanteras penularan Covid-19.

"Apa yang kami lakukan adalah untuk membantu dan menyumbang sesuatu kepada mereka yang bekerja keras di barisan hadapan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mungkin sebelum PKP, hubungan kita sebagai masyarakat tidaklah terlalu erat dengan polis dan tentera. Jadi, saya dan Awal mengambil inisiatif untuk bertemu sendiri dengan mereka dan hulurkan sedikit sumbangan," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, mereka enggan menceritakan mengenai apa yang disumbangkan kepada anggota keselelamatan itu.

"Biarlah kami tahu apa yang kami lakukan. Segan juga untuk kami kongsikan di media sosial kerana tak mahu ada pihak salah faham.

"Hari ini, saya kongsikan juga surat penghargaan ini di Instagram Story sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menghargai sumbangan kami dan sudah berkhidmat untuk kita selaku masyarakat. Bukan sebab saya nak menunjuk atau apa," katanya.

Katanya, kerjasama antara dia dan suami dengan pasukan barisan hadapan itu akan diteruskan lagi walaupun PKP sudah tamat.

"Insya-Allah, kerjasama ini akan berterusan dan kami pun tak mahu ia terhenti setakat dalam tempoh PKP ini sahaja. Selepas ini, kami berdua akan terbabit dalam beberapa aktiviti serta program berkaitan kepolisan dan ketenteraan," katanya.

 

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 1:23pm
d