rap

Jamal Abdillah berdebar nak timang 'baby' baru

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI legenda, Datuk Jamal Abdillah, 61, mengakui berdebar di sebalik rasa gembira sebaik mendapat tahu isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, hamil anak kedua mereka, baru-baru ini.

Jamal ketika dihubungi berkata, rasa berdebar itu kerana memikirkan dirinya sudah berusia, tanggungan pula bertambah dan sampai bila dia akan larat bekerja.

 "Namun, saya sentiasa yakin apabila lahirnya seorang anak itu nanti tetap akan ada rezekinya. Cuma, sekarang saya kena lebih tenang kerana keluarga makin besar.

"Jika sihat, lelaki yang berusia 70 atau 80 tahun tak ada masalah nak dapatkan anak. Lagipun isteri saya masih muda lagi. Namun, sebagai bapa yang sudah berusia, saya kena buat persiapan lebih rapi untuk anak-anak seperti sediakan simpanan, rumah dan apa saja difikir perlu bagi mereka.

"Contohnya anak pertama kami, Nur Azura Yamani baru berusia tujuh bulan. Apabila usianya 10 tahun, saya sudah berusia 71 tahun. Jadi, saya kenalah buat persiapan untuk Azura pada masa akan datang," katanya kepada Harian Metro.

Bercerita mengenai kandungan isterinya, Jamal berkata, kandungannya sudah berusia 13 minggu dan Zai Izzati mengalami alahan agak teruk. Ditambah pula dengan Azura yang semakin banyak ragamnya.

"Pening juga kepala saya Azura sudah ada sikap suka merengek, seolah-olah seperti 'tunjuk perasaan' mungkin dia sudah dapat rasa akan dapat adik agaknya.

"Ragamnya memang tak sama ketika dia berusia lima dan enam bulan lalu. Sekarang, apabila tengok dia asyik menangis, saya jadi susah hati dibuatnya," katanya.

Jamal berkahwin dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 dan pada 10 Oktober lalu Azura dilahirkan. Menerusi dua perkahwinan sebelum ini, Jamal memiliki dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.

Sementara itu, Jamal yang akan meraikan ulang tahun ke- 61 esok berkata sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak aktiviti persembahan nyanyiannya yang sudah dijadualkan terpaksa ditangguhkan.

Beliau juga reda dan berlapang dada kerana dua konsert besarnya iaitu persembahan lima malam di Istana Budaya, Kuala Lumpur dan Konsert 40 Tahun Jamal Abdillah di Singapura pada Ogos ini turut dibatalkan.

 

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 5:24pm
d