rap

Rela potong bayaran

Oleh Wartawan HM

ANNYEONGHASEYO! Tidak semua selebriti dengan rela hati bayaran terbabit dalam sesuatu projek dipotong.

Apatah lagi, mereka sudah bekerja keras mencapai ke tahap tertentu untuk mendapatkan bayaran lebih tinggi.

Namun, tidak buat pelakon Jo Jung Suk yang nampaknya cukup bertimbang rasa mengenai soal bayaran.

Terbaharu, dia dikhabarkan secara sukarela mahu bayarannya terbabit dalam drama Hospital Playlist dipotong.

Menurut sebuah akhbar, jumlah potongan berkenaan bukan sedikit memandangkan dia sendiri antara pelakon yang menerima bayaran tinggi.

Dia jelas begitu seronok dengan pembabitan dalam drama terbabit tanpa memikirkan sangat soal bayaran.

"Jo Jung Suk sendiri yang meminta bayarannya dikurangkan kepada RM247,000 untuk satu episod. Ini disebabkan dia sendiri merasa dirinya sangat signifikan untuk berlakon dalam Hospital Playlist," lapor akhbar itu.

Sebagai pelakon yang berpengalaman, Jo Jung Suk dilaporkan menerima bayaran sekitar RM353,000 untuk satu episod saja. Bagaimanapun, dia jelas tidak berkira untuk melakukan sesuatu projek disukainya walaupun bayaran dipotong.

Menurut sumber dalaman, antara sebab pelakon itu berbuat demikian adalah dia sangat gembira dengan produksi drama itu sendiri. Lantas, keputusannya itu mendapat pujian daripada ramai penggiat seni di Korea Selatan.

"Keputusan itu diambilnya disebabkan dia meletakkan kepercayaan yang sangat tinggi kepada pengarah drama terbabit Shin Won Ho dan penulis skrip Lee Woo Jung. Justeru, dia dengan relanya meminta bayaran dikurangkan.

"Jarang melihat pelakon sepertinya sekarang yang sanggup berbuat demikian. Tidak hairanlah dia menjadi contoh yang terbaik kepada pelakon lain terutama di set penggambaran drama itu," jelas sumber terbabit.

Selepas membuat kemunculan pertama pada 2004 menerusi pementasan muzikal The Nutcracker, Jo Jung Suk terus mekar dalam industri lakonan di negara itu. Antara drama yang mengangkat namanya termasuk The King 2 Hearts, You Are the Best dan Oh My Ghostess.

Tidak ketinggalan, drama Two Cops, Don't Dare to Dream, filem EXIT, Intimate Strangers, My Annoying Brother, The Face Reader, Architecture 1010 dan Hit-and-Run Squad.

Dia turut mendapat banyak pengiktirafan menerusi bakat lakonan cemerlangnya dalam setiap projek.

Pelakon ini mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Gummy pada Oktober tahun lalu dan mengumumkan bakal menimang cahaya mata sulung pada Januari lalu.

Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 6:30am
d