rap

Teman lelaki pendorong Zarazya

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON Zara Zya, 35, mengakui teman lelakinya menjadi pendorong utama yang memberi galakan dan inspirasi untuk dia aktif berniaga pada Ramadan ini.

Zara dihubungi berkata dia yang sudah memulakan perniagaan perkhidmatan tempahan makanan dikenali Zarazyacooks itu sejak beberapa bulan lalu, kini mempekasakannya lagi dengan lebih efektif.

"Saya jadi lebih bersemangat untuk berniaga pada Ramadan ini kerana teman lelaki memberi galakan ternasuk membentuk satu pasukan kerja yang tersusun untuk melancarkan perkhidmatan kami.

"Dia (teman lelaki) memang banyak membantu dan kongsi idea kerana berbekalkan pengalaman dimilikinya yang turut aktif dalam badan amal," katanya masih merahsiakan identiti sebenar lelaki itu.

Enggan mengulas lanjut gerangan 'insan istimewa' kesayangannya, Zara berkata dia kini dalam fasa menyulam kebahagiaan dan mahu lebih mengenali hati budi.

Ujar Zara lagi, lelaki berkenaan juga banyak mendedahkannya dengan pelbagai aktiviti amal dan kemasyarakatan.

"Yang pasti, dia bukan anggota pasukan beruniform," katanya ringkas dan memaklumkan belum masa untuk teman lelakinya diperkenalkan.

Pada April lalu, Zara atau nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin membuat pengakuan terbuka di Instagram (IG) memaklumkan dia sudah bertemu insan istimewa.

"Walaupun bidang kita berlainan, pelbagai watak yang saya lakonkan, biarpun pelbagai hero yang pernah bergandingan dengan saya, namun awak antara yang teratas di hati saya. Terima kasih kerana menerima saya seadanya. Saya sangat bahagia sekarang," tulisnya.

Sebelum ini, Zara pernah bertunang dengan pelakon Hafreez Adam pada 12 Oktober tahun lalu dan ikatan itu putus selepas tiga bulan. Mereka berkenalan ketika berganding dalam drama Monalisa pada 2017.

Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 11:40am
d