rap

Alyssa di tangga ke- 9 carta YouTube  Malaysia

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI dan pelakon cilik terkenal, Aryanna Alyssa Dezek melakar sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya selebriti yang menduduki carta 10 teratas paling banyak dilanggan di YouTube Malaysia.

Alyssa yang menduduki tangga kesembilan berkata, dia tidak menjangka apabila laman Youtube miliknya kini mencecah lebih 2.51 juta langganan. 

"Memang tak jangka langsung apabila awal Mei lalu saya dimaklumkan saluran YouTube saya menduduki tangga kesembilan paling tinggi dilanggan di YouTube Malaysia.

"Diakui Lagu Untuk Kamu nyanyian saya yang dilancar pada November tahun lalu antara paling banyak membantu hingga meningkatkan langganan selain muzik video lagu itu yang mencatat lebih 30 juta tontonan.

"Saya juga terkejut apabila penonton yang mengikuti laman YouTube itu bukan saja dalam kalangan rakyat Malaysia tetapi dari serata negara," katanya.

Menurut Alyssa, dia berterima kasih kepada ibunya, Suzanne Desek kerana sudah mendaftar saluran itu sejak lapan tahun lalu. 

"Mulanya ibu yang mencadangkan video nyanyian saya dimuat naik di YouTube kerana boleh menyimpan segala kenangan dan berkongsi bakat dimiliki.

"Sejak memulakan saluran itu pada tahun 2012, banyak video dimuat naik menjadi tular seperti lagu Ku Anta yang dinyanyikan semula hingga penyanyi asal ingin bertemu dengan saya ketika datang ke Malaysia tidak lama dulu.

"Malah perkongsian saya bermain ukulele seawal umur empat tahun turut menarik perhatian penonton di  saluran YouTube itu," katanya.

Tambahnya lagi, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan Mac lalu, dia mengakui menerima jumlah langganan yang tinggi.

"Saya manfaat PKP ini dengan membuat lebih banyak lagu nyanyian semula daripada artis tempatan dan Indonesia sekali gus menerima jumlah langganan dan tanda suka yang tinggi. 

"Fokus saya kini adalah memastikan saluran YouTube ini dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan akan berusaha mendapatkan 10 juta jumlah langganan untuk memiliki Diamond Play Button dari YouTube," katanya

Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 8:57pm
d