rap

Sobri syukur dah 'bebas' tapi trauma...

Oleh Norhayati Nordin

 

PELAKON Sobri Anuar, 43, menyifatkan dirinya umpama 'keluar dari penjara'  apabila kawasan Jalan Masjid India, Kuala Lumpur akhirnya bebas daripada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 4 Mei lalu.

   

  Sobri yang dikenali menerusi drama bersiri Keluarga Iskandar, sebelum ini dilaporkan terkandas  di rumah sewanya di Malayan Mansion, Jalan Masjid India, selepas kawasan terbabit dikenakan PKPD oleh kerajaan bermula 7 April lalu.

  Katanya yang dihubungi, hampir satu bulan terkurung di kawasan itu tanpa dapat bertemu orang lain, ternyata pengalaman sukar dilupakan dan memberi trauma pada dirinya.

  "Apapun, sebaik mendapat tahu kawasan Jalan Masjid India dibebaskan PKPD, saya bersyukur, seronok dan terasa mahu menikmati kebebasan. Semangat diri bangkit semula.

   "Saya ambil masa keluar berjalan sendirian ke Dataran Merdeka dan terasalah hidup ini kembali normal semula. Dah boleh nampak kereta, motor, orang dan dunia luar, saya rasa sangat bebas," katanya kepada Harian Metro.

 

   Menurut Sobri lagi,  dia juga tak ambil masa lama untuk meninggalkan kawasan yang menjadi mimpi ngeri kepadanya seketika itu dan pulang semula ke kediaman keluarga di Klang.

   "Buat masa ini, saya tidak akan menjejakkan kaki ke kawasan itu lagi. Ia tempat yang berisiko tinggi dan terkurung hampir sebulan seorang diri di situ sangat menginsafkan.

  "Saya banyak muhasabah diri dan yang pasti sangat mengharapkan pendamik Covid-19 ini cepat berakhir. Terlalu banyak pengajaran dan pengalaman yang saya peroleh daripada dugaan ini," katanya.

   Sobri yang kini mula bekerja, berkata apapun dia bersyukur selama terkurung di kawasan berkenaan, ramai rakan yang ambil berat dan prihatin padanya ternasuk tidak putus memberi kata-kata semangat.

   "Keluarga juga terutama ibu saya setiap hari menghubungi. Apapun, menjalani puasa Ramadan sendirian di situ memberi banyak masa untuk saya dekatkan diri kepada Allah SWT.

  "Banyak nikmat yang baik untuk diri sendiri sebenarnya yang mana lebih peka pada penjagaan kesihatan. Dah tak berani nak sambil lewa dan sibuk dengan kerja sahaja," katanya.

   Sobri berkata kini dia lebih utamakan penjagaan keselamatan dan kesihatan dirinya. Ujarnya, sakit kepala sedikit pun dia sudah bimbang dan tidak bertangguh untuk mendapatkan ubat dan rawatan awal.

   Terdahulu, perlaksanaan PKPD ke atas kawasan Jalan Masjid India dibuat berikutan terdapat banyak kes positif  Covid-19 di sekitarnya dan sekali gus berada dalam zon merah.

Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 12:42pm
d