rap

Dafi bangga dan tumpang gembira papa...

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON dan penyanyi, Dafi, 32, akui bangga serta tumpang gembira dengan perhatian termasuk populariti yang kini diraih bapanya iaitu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Dafi atau nama sebenar Gadaffi Ismail Sabri dihubungi berkata tak dinafikan dia melihat sekarang bapanya memang lebih popular berbanding dirinya yang sudah 12 tahun menceburi kerjaya seni.

"Sebagai anak, saya hanya mampu bangga dan gembira dengan apa yang dilakukan bapa sekarang kerana memang tahu itu adalah minat utamanya.

"Walaupun di rumah, kami jarang berbicara soal kerjaya masing-masing, tapi saya tahu bapa puas hati dengan tanggungjawab kerja yang digalasnya sekarang," katanya.

Ujar pelakon drama Dia Semanis Honey dan Klik Pengantin Musim Salju itu, meskipun bapanya pernah 'berehat seketika' daripada politik kira-kira lebih setahun lalu, tetapi kini dilihatnya beliau sangat gembira dengan tugas sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan).

Menurut Dafi yang tinggal bersama keluarga, walaupun melihat bapanya hari-hari terbabit dengan sidang media, namun yang pasti beliau sangat bersemangat dan tak nampak pun keadaannya penat.

Ditanya juga penampilan bapanya yang mendorong orang ramai menghasilkan kuih-muih mengikut baju dipakai, kata bekas bintang Akademi Fantasia 5 (AF5) itu, ia sangat melucukan.

"Memang kelakar jugalah, bila baju-baju dipakai bapa saya dikaitkan dengan aneka kuih-muih. Bagi saya, rakyat Malaysia sangat kreatif.

"Apapun, baju-baju yang dipakai ketika sidang media itu adalah koleksi peribadi sedia ada bapa saya terutama batik," katanya mengakui ada di antara baju batik itu memang nampak moden kontemporari.

Mengulas juga dirinya yang dikata memiliki 'hak istimewa' kerana anak kepada Menteri Keselamatan, Dafi menafikan perkara itu dan katanya dia sudah lebih sebulan terkurung duduk di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Siapa yang anggap saya ada hak istimewa kerana status sebagai anak menteri, itu dakwaan palsu. Saya sama sahaja macam kalian semua, duduk di rumah dan tak keluar ke mana-mana pun.

"Bapa saya memang menteri tetapi, saya adalah rakyat biasa yang tidak boleh ingkar dengan arahan kerajaan. Lagi pun, pandemik Covid-19 ini sangat bahaya dan keselamatan diri lebih utama," katanya.

Ujar Dafi, dia yang bercadang mahu aktif semula dalam nyanyian dengan tampil lagu baru pada tahun ini, nampaknya perlu memendam seketika hasrat itu sehingga keadaan negara kembali selamat.

Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 10:52am
d