rap

Mak Wan pun tak dapat BPN

Oleh Sudirman Mohd Tahir

BAGI menyara dan meneruskan kelangsungan hidup, pelakon veteran, Mak Wan menjual kuih tart nanas selepas permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tidak berjaya.

Mak Wan atau nama sebenarnya, Halimaton Saadiah Mohd Daud berkata, dia membuat dan menghantar sendiri tart nanas yang dipesan pelanggan.

"Alhamdulillah, bantuan daripada Seniman dan rakan artis tempoh hari masih ada. Cuma, saya kena berjimat cermat. Lagi pula saya tinggal sendiri. Bukan makan banyak sangat pun.

"Sepanjang Ramadan ini memadai saya minum air suam dan makan dua ke tiga biji kurma. Bagi menambah pendapatan pula, sekarang saya buat tart nanas. Saya sudah mula sejak dua minggu lalu.

"Walaupun permohonan BPN gagal, insya-Allah, ini rezeki untuk saya. Tapi, saya dimaklumkan boleh buat rayuan. Macam tart nanas, jika ada pesanan baru saya buat dan akan hantar kepada pelanggan. Kalau yang dekat dengan saya, mereka datang ambil sendiri," katanya kepada Harian Metro.

Mak Wan yang juga dikenali sebagai Mak Wan Latah turut berkongsi mengenai kesihatan dirinya.

Menurut Mak Wan, sudah seminggu dia tidak boleh berjalan disebabkan masalah bisul di kaki.

"Sudah hampir seminggu saya tidak sihat dan bacaan kencing manis pula naik sehingga 19. Ditambah pula ada masalah bisul di kaki.

"Jadi, saya tidak kuat untuk berjalan. Mungkin sebab itu juga badan saya kurang sihat. Insya-Allah, selepas makan ubat beransur sembuh," katanya.

Mak Wan turut berterima kasih kepada beberapa rakan artis yang membantunya.

Selain Seniman, Ahli Dewan Undangan Negeri Kg Batu dan Persatuan Projek Perumahan Rakyat (PPR) tempat tinggalnya turut membantu.

"Alhamdulillah, ada rakan artis yang baik hati dikirimkan Allah untuk bantu saya. Terima kasih pada Lana Nordin, PU Azman, Norkhiriah, Eez dan Didie Alias. Hanya Allah yang dapat membalas jasa baik mereka," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 1:57pm
d