rap

Alyah rindu masakan bapa [METROTV]

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SETIAP kali Ramadan menjelma, tentunya kenangan bersama mereka yang tersayang terutama bagi insan sudah pergi meninggalkan kita akan bermain di fikiran.

Bagi penyanyi, Datin Alyah yang popular dengan lagu Jutaan Purnama, kehadiran Ramadan mengimbau kenangannya bersama bapa, Allahyarham Abu Hassan yang pernah bekerja sebagai tukang masak.

"Salah satu perkara yang saya rindukan apabila terkenangkan arwah ayah adalah masakannya dan paling digemari ialah tauhu taucu. Ayah saya bekerja di atas kapal, jadi dia tidak banyak masa untuk bersama kami sekeluarga.

"Jadi, apabila dia pulang ke rumah, dia akan memasak untuk kami. Resipi ini selalunya ayah masak ketika Ramadan dan boleh dimakan bersama roti mahu pun nasi," katanya.

Berkongsi mengenai resipi unik itu, bahan yang digunakan sangat mudah didapati.

"Bahan-bahannya adalah bawang putih, bawang besar atau bawang Holland, halia, tomato, cili besar merah dan hijau, cili padi, tauhu, taucu, asam jawa, telur, pati santan dan ia boleh dimasak sama ada dengan menggunakan daging lembu, ayam atau pun udang," katanya.

Cara penghasilan resipi ini juga begitu unik dengan menggabungkan campuran pati santan dan telur sebagai kuah.

"Selalunya saya akan masak resipi ini dengan menggunakan satu kilogram daging dan boleh dimakan lima hingga enam orang. Pertama sekali, panaskan minyak masak dan selalunya saya gunakan minyak kacang soya.

"Kemudian tumis bawang putih dan kemudian bawang besar atau bawang Holland yang dibelah empat. Selepas itu masukkan sedikit pula cili padi .

"Masak sehingga cili betul-betul masak dan masukkan taucu. Saya pilih taucu yang ada rasa kacang dan sedikit berlemak untuk menambah kelazatan masakan," katanya.

Langkah seterusnya adalah untuk memasukkan daging lembu yang dihiris nipis.

"Sebelum itu, saya akan perap terlebih dahulu daging dengan hirisan halia dan kemudian barulah dimasukkan dalam periuk dan diadun dengan bahan lain yang sedia ada tadi.

"Selepas air daripada daging itu mula kering, masukkan 20 cili besar merah dan 20 cili besar hijau yang dibelah empat menjadi bentuk bunga. Jangan risau kerana ia tidak pedas.

"Selepas itu, masukkan bahan perisa seperti garam dan serbuk perasa. Kemudian, masanya untuk kita masukkan pati santan dan sekiranya masakan itu terlalu pekat, boleh tambahkan sedikit air," katanya.

Tidak terhenti di situ, masakan itu menjadi lebih pekat selepas ditambah telur.

"Kacau sehingga mendidih dan kecilkan api. Kemudian, masukkan asam jawa dan diikuti, telur untuk pekatkan kuah. Siap!" katanya.

Menurutnya, ada beberapa pengikut di Instagram yang bertanya sama ada resipi ini akan menimbulkan rasa muak atau tidak memandangkan ia mengandungi santan dan telur.

"Kepada yang bertanya soalan itu kepada saya, sebenarnya asam jawa yang kita masukkan sudah menyeimbangkan rasa lemak santan dan telur itu. Sekali gus, tak ada rasa muak.

"Ramai juga yang dah cuba sendiri resipi ini dan mereka pun tak sangka yang rasanya sangat sedap," katanya.

Yang pasti, resipi ini adalah antara menu yang mudah, tetapi unik dengan cita rasa yang tentunya membuka selera ketika berbuka puasa.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 6:30am
d