rap

16 jambak bunga 'misteri' untuk A Aida

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENERBIT terkenal, Datuk A Aida menerima 16 jambak bunga daripada pengirim misteri sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-50 pada 20 April lalu.

Aida berkata, walaupun sudah 22 hari berlalu, dia masih lagi mendapat kiriman bunga sehingga hari ini.

"Alhamdulillah, saya berterima kasih pada semua yang menghantar kek, hadiah dan bunga. Kali ini saya pelik sebab banyak bunga tanpa nama pengirim yang saya anggap pengirim misteri. Daripada 30 jambak bunga yang diterima, 16 tidak ada nama pengirim.

"80 peratus adalah bunga mawar. Selain itu ada bunga tulip dan daisy. Pening kepala juga fikir siapa pengirim. Sampai sekarang tak tahu siapa," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Aida tidak menolak sekiranya bunga itu dikirim daripada lelaki misteri berbadan 'sado' yang ingin berkenalan dengannya.

"Ramai yang tahu hati saya ini cepat cair kalau lelaki tu 'sado'. Jadi, rasanya pengirim misteri itu mesti 'sado' semuanya. Alhamdulillah, masih menjadi rebutan. Sebab itu kena jaga badan dan penampilan. Biar kalah anak dara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aida bersyukur apabila drama terbitan syarikatnya, Di Hujung Ranting yang sedang ditayangkan di TV2 menjadi trending di Twitter.

"Terima kasih kepada semua penonton yang sentiasa menyokong karya terbitan saya. Drama ini memang sesuai untuk tontonan semua.

"Saya mendapat banyak maklum balas dan komen positif mengenai drama ini. Selain jalan cerita, saya beruntung apabila drama ini menampilkan barisan pelakon hebat," katanya.

Drama 30 episod yang ditayangkan sepanjang Ramadan ini dilakonkan oleh Nad Zainal, Shukri Yahya, Amar Asyraf, Fazlina Ahmad Daud, Aida Khalida dan ramai lagi.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 5:33pm
d