rap

'Finas hilang dari radar'

Oleh Norhayati Nordin

"FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) seolah-olah hilang dari radar," kata penerbit dan pengarah, Shahrulezad Mohameddin.

Shahrulezad ketika dihubungi berkata, sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac hingga 3 Mei lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei hingga 9 Jun depan, Finas terus menyepi.

Katanya, mereka bersuara bukan kerana mempertikai arahan kerajaan tetapi menagih penjelasan sebenar daripada Finas sebagai badan berwajib yang memainkan peranan utama.

"Kami kini terumbang-ambing dan tiada petunjuk arah umpama satu keluarga besar yang hilang ibu bapa untuk memimpin pada hala tuju seterusnya. Keadaan ini sangat menyedihkan kami yang seakan terbiar dan tiada penjelasan untuk  tindakan lanjut untuk mengorak langkah semula.

"Saya tahu bidang seni bukanlah industri penting sebagai peyumbang ekonomi negara, tetapi kami perlukan penjelasan berhubung bila aktiviti penggambaran boleh dimulakan dan apa langkah prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya boleh diguna pakai.

"Sampai bila urusan bidang kerja seni ini harus ditangguh kerana stesen TV juga perlukan karya drama baru untuk disajikan kepada penonton dan penggiat seni merangkumi penerbit, pengarah, pelakon serta kru produksi, kami perlu bekerja," katanya yang popular menerusi drama terbitan dan arahannya, Nur dan Nur 2.

Shahrulezad berkata, apabila Finas mengambil sikap berdiam diri, sukar untuknya memberi penjelasan kepada pelakon dan kru produksi yang sering bertanya bila mereka boleh bekerja semula.

Hampir dua bulan segala aktiviti penggambaran ditangguh, kebanyakan penggiat seni sebenarnya mengalami masalah kewangan akibat aktiviti pekerjaan terjejas terutama pada kalangan kru produksi.

Menurut Shahrulezad, Finas dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKM) patut tampil sekarang memberi penjelasan supaya tidak timbul pelbagai spekulasi kurang enak berkaitan hala tuju industri hiburan.

Katanya, Finas tidak boeh terus berdiam diri dan sekurang-kurangnya beri penjelasan jika ada pakej rangsangan ekonomi sesuai untuk membantu penggiat industri seni tanah air.

"Dalam hal ini, kami bukan mahu meminta- minta dan inginkan hak istimewa, tetapi sekadar nak tahu garis panduan sewajarnya untuk hala tuju terkini industri hiburan. Malah, dua drama terbitan saya juga tertangguh penggambarannya.

"Hiburan juga terapi kepada orang ramai yang tertekan akibat pandemik Covid-19 ini. Justeru, adalah wajar industri seni harus dipacu semula mengikut SOP diarahkan," katanya.

 

 

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 2:31pm
d