rap

Finas tunggu kementerian

Oleh Norhayati Nordin

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) perlu menunggu kenyataan rasmi daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKM) berhubung isu yang dibangkitkan penggiat seni mengenai masalah industri hiburan khususnya penerbitan filem dan drama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Jurucakap Finas ketika dihubungi berkata, pihaknya memandang serius mengenai perkara itu kerana sebahagian besar penggiat seni sudah mula bersuara.

"Sebarang kenyataan perlu ada kelulusan daripada kementerian. Pihak kementerian perlu menelitinya terlebih dulu bagi memastikan tiada perkara berbangkit lain akan timbul selepas ini," katanya.

Terdahulu, penggiat industri filem dan drama tanah air mula mempersoalkan kredibiliti Finas selepas ia dilihat 'menyepi' sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac hingga 3 Mei lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei hingga 9 Jun depan akibat penularan pandemik Covid-19.

Mereka meminta Finas memberi penjelasan mengenai hala tuju industri terbabit yang terjejas akibat penularan penyakit itu selain memohon kelonggaran meneruskan penggambaran yang tertangguh menerusi prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian.

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 4:09pm
d