rap

Iklan raya Dik Non

Oleh Najiy Jefri

 

ASTRO Malaysia Berhad buat julung kalinya memperkenalkan iklan raya animasi sempena Aidilfitri berjudul Cerita Raya Dik Non.

Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, melihat kejayaan beberapa filem animasi yang mengungguli carta filem pecah panggung membuatkan pihaknya terpanggil untuk membawa kelainan pada Aidilfitri tahun ini.

"Kejayaan beberapa filem animasi tempatan memberi inspirasi kepada kami untuk memperkenalkan watak animasi baru sebagai kempen raya tahun ini dan tidak pernah berlaku dalam sejarah Astro.

"Kandungan animasi yang mengisahkan kanak-kanak perempuan bernama Dik Non ini juga dapat memberi keceriaan kepada penonton di rumah pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 Jun ini.

"Kami percaya elemen superhero yang diketengahkan dalam membantu orang yang lebih berusia dan individu dalam kesusahan dapat memberi mesej positif kepada penonton. Iklan raya ini juga bertepatan dengan tema Astro iaitu Indahkan Senyuman yang mana senyuman adalah salah satu kunci utama dalam mengubati segala perkara," katanya.

Menurut Khairul, watak animasi ini adalah harta intelek (IP) milik mereka dan berhasrat untuk dikembangkan menjadi sebuah karya yang lebih besar.

"Pasti ada pihak yang akan mempersoalkan mengapa tidak membawakan watak animasi terkenal seperti Didie & Friends yang ditayangkan di Astro untuk iklan raya, namun keputusan ini dibuat kerana kami ingin mencipta sebuah lagi IP baru. Penciptaan watak baru ini ingin dikembangkan ke projek yang lebih besar dengan jalan cerita yang lebih menarik sekiranya mendapat permintaan tinggi daripada penonton," katanya.

Khairul berkata, watak Dik Non terhasil menerusi perbincangan dengan unit pemasaran selepas menginginkan watak animasi yang berjiwa besar untuk menjadi superhero sekali gus melakukan kebaikan.

Iklan raya ini diarahkan Derrik Yaw manakala pemilik suara latar bagi watak Din Non adalah Nurdianah (Dee)  manakala watak Pak Mail dibawakan Khairul sendiri.

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 5:52pm
d