rap

Hafreez Adam pernah mengalami tekanan mental

Oleh Norhayati Nordin

 

MEMBESAR dengan dibelenggu isu diri sendiri yang gagal ditangani menyebabkan pelakon Hafreez Adam, 30, pernah berhadapan masalah tekanan mental yang serius.

Hafreez berkata, sejak kecil dia berhadapan beberapa isu mengecewakan dalam hidup yang dipendam sendiri dan tidak dikongsi dengan sesiapa termasuk ibunya.

"Saya membesar dalam keluarga ibu bapa yang berpisah. Malah, saya bersekolah hingga darjah enam sahaja. Jadi, apabila meningkat remaja timbul perasaan memberontak dalam diri.

"Saya kecewa kerana terlalu memikirkan diri seorang yang gagal kerana tiada pelajaran. Saya tidak bersekolah ketika itu bukan kerana malas tetapi berhadapan dengan masalah keluarga," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hafreez, akibat terlalu memendam rasa dan berahsia segala masalah dihadapi sendirian, akhirnya memakan diri hingga dia gagal menangani tekanan.

"Saya sanggup mencederakan diri pada 2013 kerana tak tahan berhadapan pelbagai tekanan. Sukar untuk saya ungkapkan apa masalahnya tetapi ia sangat memberi tekanan dan mengganggu mental.

"Pun begitu, saya rasa syukur dan bertuah kerana ada beberapa rakan membantu dengan memberi kata-kata semangat. Saya dapat bangkit dan menjalani kehidupan yang baik. Namun, pada 2018 saya sekali lagi berhadapan pelbagai masalah yang memberikan tekanan sehingga bertindak mencederakan diri. Bagaimanapun, saya cepat sedar apa yang dilakukan itu salah.

"Ini kerana kenapa selepas enam tahun saya bebas dan dapat mengawal diri daripada tekanan mental, tetapi pada 2018 gagal semula. Namun, apa yang saya kongsikan kepada masyarakat kini kerana tidak mahu memendam lagi," katanya.

Hafreez berkata, walaupun bimbang jika dirinya dikecam kerana status sebagai selebriti, namun dia sudah sedia terima kerana memikirkan perkongsian itu untuk membantu insan senasib dengannya.

   Katanya, dia juga tak sangka menerima banyak mesej peribadi (DM) daripada orang ramai di Instagram yang mengalami masalah sama. Dalam soal ini, pandangan positif sangat penting  dan saling membantu beri semangat.

Hafreez sebelum ini pernah mendedahkan masalah mental dialami dalam blog peribadinya. Namun, enggan berhadapan kecaman menyebabkan dia bertindak menyimpan semula penulisan itu.

Katanya, kesibukan dengan kerjaya seni membuatkan dia berjaya melupakan semua masalah diri.

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 7:17pm
d