rap

Ikhlas, ST Rosyam Mart bantu komuniti terjejas

Oleh Norhayati Nordin

 

JENAMA perniagaan baharu di bawah AirAsia.com, Ikhlas bekerjasama dengan pasaraya ST Rosyam Mart bagi menghulur sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada lebih 1,000 keluarga pelbagai komuniti termasuk ahli Persatuan Pekerja Filem Malaysia (Profima) dan Pertubuhan Khairat Anak Seni Malaysia (Perkhas).

Kempen Derma Dengan Ikhlas itu menyaksikan sebanyak RM50,000 digunakan untuk membeli barangan berkenaan dari pasaraya ST Rosyam Mart sebelum diedarkan kepada keluarga terbabit.

Pengarah ST Rosyam Mart Sdn Bhd, Datuk Rosyam Nor berkata, pihaknya sangat berbesar hati dapat

bekerjasama dengan Ikhlas untuk membantu mereka yang memerlukan akibat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19.

"Menerusi kempen ini, kami sudah mengenal pasti 1,000 keluarga yang memerlukan bantuan merangkumi pelbagai persatuan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)," katanya.

Rosyam yang juga pelakon dan penerbit berkata, sebagai mewakili penggiat seni, dia sangat berterima kasih kepada pihak Ikhlas dan berharap kerjasama murni itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Apa yang pasti, sumbangan  ini turut disalurkan bagi membantu meringankan beban pekerja industri di belakang tabir terjejas pendapatan melalui  Profima dan Perkhas," katanya ketika ditemui di majlis penyampaian sumbangan itu di pasaraya ST Rosyam Mart, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Ikhlas, Ikhlas Kamarudin.

Sementara itu, Ikhlas berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk meringankan beban komuniti yang memerlukan, terutama pada masa yang mencabar ini.

"Setakat ini, kami sudah menyalurkan bantuan menerusi kempen ini ke lebih 50 lokasi dan menyedari bahawa ada ramai lagi komuniti yang memerlukan bantuan.

"Dengan semangat #InThisTogether, kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan pasaraya ST Rosyam Mart untuk terus mengedarkan barangan keperluan asas kepada lebih ramai keluarga dan pada  masa sama membantu peniaga tempatan," katanya.

Kerjasama di antara Ikhlas dengan pasaraya ST Rosyam Mart dijalankan kerana Rosyam dan

rakan perniagaannya, Datuk Raymond Ho terbabit secara aktif dengan NGO seperti Persatuan Kebajikan Masyarakat Desa Melawati (Perkemas).

Sehingga kini, kempen Derma Dengan Ikhlas berjaya mengumpul dana sebanyak RM911,000 melalui inisiatif derma digital awam dan semakin hampir pada sasaran kutipan RM1 juta.

Sejak awal Ramadan lalu, pasukan Ikhlas juga sudah mengedarkan barangan keperluan asas termasuk juadah berbuka puasa kepada lebih 5,800 keluarga di seluruh negara.

Kempen Derma Dengan Ikhlas adalah sebahagian daripada kempen #InThisTogether oleh Kumpulan

AirAsia. Orang awam yang berminat untuk menderma boleh melayari Givewith.Ikhlas.com.

Ikhlas juga adalah jenama perniagaan baharu di bawah AirAsia.com yang ditubuhkan khusus untuk komuniti Muslim di seluruh dunia dengan menyediakan akses dalam pelbagai amalan berasaskan tuntutan agama termasuk ibadah umrah, korban dan pilihan gaya hidup berasaskan patuh syariah.

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 10:44pm
d