rap

Aliff Aziz, Bella bakal timang anak perempuan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI dan pelakon, Aliff Aziz dan isteri, Bella Astillah berkongsi bakal menimang cahaya mata perempuan yang dijangka dilahirkan Julai ini.

Majlis pengumuman jantina bayi itu dibuat menerusi sesi siaran langsung di Instagram Aliff dan Bella semalam.

Bella, 26, atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah berkata, itu cara terbaik dibuat memandangkan dia dan Aliff tinggal berjauhan sekarang.

"Saya dijangka bersalin Julai ini. Memandangkan masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kami duduk jauh, jadi ini saja cara terbaik. Soal jantina anak, saya sudah tahu lama," katanya.

Sementara itu, Aliff yang kini berada di Singapura berkata, dia memang mengimpikan anak perempuan.

"Sebenarnya, saya tak tahu jantina anak sebab Bella rahsiakan daripada saya. Jadi, pada majlis ini baru dapat tahu. Kalau ikutkan saya nak anak perempaun, tapi tidak kisah pun jika dapat lelaki asalkan bayi itu sihat dan cukup sifat.

"Alhamdulillah, betul anak perempuan. Terima kasih pada semua yang mendoakan," katanya.

Aliff yang popular menerusi lagu Sayang Sayang juga tidak sabar untuk berjumpa isteri dan anak mereka, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia tiga tahun.

"Terima kasih Bella kerana kuat melalui masa-masa sukar ini dan juga Ayden. Insya-Allah, nanti kita berjumpa. Tak sabar nak jumpa semua," katanya.

Terdahulu, Bella mengesahkan sudah rujuk semula dengan Aliff pada Julai tahun lalu.

Sebelumnya, pasangan itu disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 16 Mei tahun yang sama.

 

Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 8:32am
d