rap

Luahan penggiat seni dapat perhatian kerajaan

Oleh Norhayati Nordin

RENTETAN luahan perasaan penggiat seni tanah air yang ingin tahu status hala tuju industri hiburan ketika kerajaan melanjutkan Perintah Kawakan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga 9 Jun ini akhirnya mendapat perhatian Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

KKMM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya sudah menerima permohonan daripada pelbagai persatuan hiburan bagi mendapatkan kebenaran untuk menjalankan aktiviti penggambaran sewaktu tempoh PKPB.

"Kementerian juga menerima pelbagai cadangan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti penggambaran daripada persatuan filem tempatan dan Perbadanan Kemajuan  Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk meneliti SOP berkenaan.

"Bagaimanapun, cadangan SOP itu terlebih dahulu perlu dibawa untuk pertimbangan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bilangan 42 Tahun 2020,  pada hari ini," katanya.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat juga akan memutuskan pelaksanaan SOP berkenaan dalam masa terdekat iaitu selepas meneliti impak pelaksanaan PKPB dan kesan pembukaan semula operasi sektor ekonomi.

"Kementerian akan sentiasa berusaha bagi memastikan industri kreatif terus berkembang pesat dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan luahan perasaan pelakon Arash Mohd serta penerbit dan pengarah, Sharulezad Mohameddin yang meminta KKMM dan Finas memberi perhatian kepada penggiat seni hiburan yang semakin terjejas akibat hampir dua bulan tidak dibenarkan bekerja kerana PKP dan PKPB.

Mereka juga mendakwa Finas seakan menyepi tanpa sebarang penjelasan dan pencerahan lanjut sehingga membuatkan penggiat seni tertanya-tanya apakah hala tuju seterusnya.

Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 9:01pm
d