rap

YouTube Monsta cecah 10 juta langganan

Oleh Georgie Joseph

SALURAN YouTube Monsta berjaya merekodkan pencapaian mengagumkan apabila menjadi saluran YouTube keluarga dan kanak-kanak pertama di Malaysia yang mencecah 10 juta langganan.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios (MONSTA), Nizam Abdul Razak berkata, kejayaan terbabit semestinya satu pembakar semangat buat syarikat animasi tempatan itu terus melakar nama di seluruh dunia.

"Pencapaian ini menjadi satu suntikan semangat kepada kami untuk menghasilkan karya yang lebih berkualiti bukan saja untuk tontonan di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. YouTube benar-benar berhasil membawa kandungan kami ke seluruh dunia.

"Ia mengembangkan lagi kumpulan peminat kami sekali gus menampakkan kepercayaan penonton luar terhadap kandungan yang dihasilkan Monsta. Kami sentiasa peka kepada trend terkini dan apa yang penonton kami mahukan.

"Selain itu, kami turut berusaha mendapatkan pengikut baru dengan beberapa rangka strategi mengikut rangka sasaran umur. Sebab itu kami tidak bergantung kepada hanya satu 'content' mahupun satu saluran sahaja," katanya.

Nizam juga tidak menafikan penghasilan kandungan secara kerap menerusi YouTube jelas memberi banyak sumbangan tersendiri kepada syarikat terbabit secara keseluruhan.

"Kami berjaya menyakinkan beberapa syarikat gergasi animasi dunia bagi menayangkan 'content' mereka seperti Pokemon, Beyblade, Zoids, Kamen Rider dan banyak lagi secara percuma di saluran kami.

"Sumbangan utama sudah pasti mengembangkan pasaran kami ke peringkat antarbangsa dan menjadi jenama lebih besar. Ianya memudahkan kami untuk mengenali dan menguasai pasaran-pasaran seperti di Eropah, Amerika Syarikat dan Asia Timur.

"Dengan alih bahasa serta sarikata, ianya memudahkan lagi peminat-peminat kami di luar sana untuk menontonnya," katanya.

Saluran YouTube Monsta merangkumi Mechamato, Mini Monsta - Animasi Kanak-Kanak, PapaPipi, Monsta Keren, BoBoiBoy - Full English Episodes, Galaxy Card, dan Monsta Dhamalastic.

Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 4:25pm
d