rap

'Siapa kata kerja kami tak berkat?' Sharifah Shahora

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Pelakon, Sharifah Shahora menegaskan kerja penerbitan dan penggambaran bukanlah pekerjaan yang melalaikan dan tiada keberkatan.

Shahora berkata, perkara yang melalaikan itu bergantung kepada keperibadian setiap individu yang bekerja.

"Kerja yang melalaikan itu mengikut pembawakan individu, bukan hanya kerja dalam penggambaran saja. Budaya kerja produksi penggambaran lebih kurang sama saja dengan kerja lain.

"Ketika azan, kita akan hentikan penggambaran, tak kiralah sama ada itu produksi Cina atau India. Waktu solat, kita solat," katanya.

Shahora menerusi status di Facebook berkata, kru produksi juga menunaikan solat di lokasi.

"Ramai di set penggambaran yang menunaikan solat berjemaah dan sendiri. Penolong pengarah akan berikan masa untuk kita menunaikan solat sebab nak cuci solekan atau bersiap semula.

"Tak ada sesiapa yang menghalang pelakon atau kru untuk melakukan kebaikan," katanya.

Menurut Shahora, dia tidak menafikan terdapat individu di lokasi penggambaran yang terkait dengan perkara yang tidak berfaedah.

"Ada juga yang tak solat, ada yang terkait dengan benda yang tak elok, tak tutup aurat dan gelak tak kira masa. Tapi, itu bukan sebagai pekerjaan itu salah. Sebaliknya salah individu itu sendiri," katanya.

Dalam masa sama, Shahora juga menyentuh beberapa perihal mengenai sistem kewangan dan bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Semua terima gaji dulu. Penerbit pun terima bayaran dari stesen (TV) dua hingga tiga bulan selepas itu. Kalau panggung, enam hingga 12 bulan selepas tayangan. Kalau nak kenang pengorbanan, 30 orang dalam tu kita kena kenang.

"KWSP untuk yang bekerja sendiri perlu dimohon sendiri kerana kalau kita ikat kontrak bekerja sebulan dengan produksi A, takkan setiap bulan produksi A nak kena bayarkan KWSP kita sampai 55 tahun sebab kita kerja ikut kontrak. Insurans pun produksi sediakan mengikut masa kita bekerja," katanya.

Shahora menutup kenyataannya dengan meminta pihak tertentu untuk menghormati pekerjaan orang lain.

"Ramai tersinggung kalau dikatakan hasil pekerjaan kita ini tak berkat. Pilihan di tangan kita. Kalau kita rasa kecewa dengan industri, kita boleh pilih kerja lain. Tapi, kalau pekerjaan ini boleh membawa rezeki kepada keluarga, teruskan.

"Apa pun, bukan salah pekerjaan itu sendiri. Tetapi, bagaimana kita membawa diri kita dalam pekerjaan itu. #hormatkerjaorang," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan pelakon, Zul Yahya yang menyeru pekerja industri filem dan drama kalangan kru produksi dan teknikal belakang tabir untuk mengubah haluan kerjaya yang diceburi mereka selama ini.

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 2:43pm
d