rap

Nazim disumpah seranah kerana watak Amer

Oleh Georgie Joseph

PELAKON Nazim Othman mengaku terkejut dibanjiri komen dan mesej peribadi berunsur sumpah seranah gara-gara lakonan sebagai watak Amer dalam drama Bukan Gadis Biasa di slot Akasia TV3.

Nazim atau nama sebenar Nushrul Alif Othman, 36, berkata dia tidak sangka ada penonton sampai terbawa-bawa emosi mendoakan dirinya dapat balasan buruk hanya kerana bencikan watak Amer itu.

"Untuk satu mesej peribadi (DM) diterima di Instagram, saya terkejut juga apabila individu berkenaan terbawa-bawa emosi tak terkawal. Penonton lain pun ramai juga yang geram, namun tidaklah sampai melangit.

"Sejak episod awal lagi, watak Amer yang suka membuli dan kuat mengadu memang sudah tidak disukai penonton. Apabila mereka tahu saya pembawa watak itu (Amer) versi dewasa, mereka pun melepaskankan perasaan tak puas hati melalui media sosial.

"Terutamanya di Instagram. Ada yang kata nak sepak, pecahkan muka, dan nak langgar dengan kereta. Sebagai pelakon, saya terima komen-komen itu dengan hati terbuka," katanya.

Tidak tertekan menerima kritikan untuk watak berkenaan, Nazim berkata dia juga sedikit pun tidak ambil hati bahkan sentiasa bersyukur mendapat maklum balas jujur daripada peminat.

"Apabila mereka memberi komen-komen kasar untuk watak Amer dalam drama berkenaan, sekurang-kurangnya, itu menunjukkan kewujudan watak Amer dalam karya ini mempunyai signifikan tersendiri.

Saya tak berkecil hati dengan komen mahupun kritikan penonton. Bagi saya, tanpa kritikan, seseorang pelakon akan berada dalam ruang selesa dan tidak berkembang. Jadi saya berterima kasih kepada penonton yang memberi maklum balas terhadap lakonan saya," katanya.

Nazim turut mengakui dia sebenarnya menyifatkan lakonannya masih ada kekurangan dalam drama terbabit, namun tidak mahu terlalu menekan diri untuk memikirkan hal itu.

"Kalau ikutkan, saya tak puas hati dengan persembahan lakonan sendiri apabila menonton  drama itu. Saya boleh jadi lebih jahat tapi tidak apa saya belajarlah perbaiki diri jika ada peluang galas watak antagonis lagi.

"Sebagai pelakon, kita tak boleh terlalu kritikal dengan diri sendiri. Selagi ada ruang, teruskan perbaiki. Saya mengambil kira komen-komen penonton dari perspektif yang besar. Bidang lakonan adalah kerjaya dan minat saya," katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 2:15pm
d