rap

Lisdawati buang, bakar gambar lama

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Lisdawati berdoa setiap hari supaya cerita lama mengenai dirinya iaitu sebelum berhijrah dan bertudung tidak lagi disiarkan.

Lisda, 42, atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin berkata, dia sudah banyak membuang dan membakar gambar-gambar lama.

"Banyak gambar lama yang saya sudah buang dan bakar. Tiba-tiba terkeluar keratan ini. Masih ada lagi yang terselit.

"Teringat pada beberapa peminat yang paparkan gambar lama saya. Saya mohon maaf sangat dan minta tidak disiarkan gambar saya yang lama. Kalau nak simpan pun, jom kita jaga sama-sama kita. Conteng sikit mana yang perlu," katanya.

Lisda yang juga pelakon drama Camelia berkata, dia selagi boleh mahu memadam semua gambar dan video yang memaparkan dirinya tidak bertudung.

"Kalau mampu nak saja saya padam semua gambar dan video saya yang jahil dulu. Setiap berdoa supaya cerita lama saya tak disiarkan," katanya.

Lisda memuat naik gambar bersama beberapa artis wanita ketika menjayakan sesi fotografi sebuah majalah hiburan satu ketika dulu.

"Semoga Allah SWT terima taubat saya. Maaf sekali lagi atas kesalahan saya," katanya.

Pada keratan itu, Lisda menconteng bahagian kepala di mana ketika itu dia belum bertudung.

Lisda mula mengenakan tudung pada 2013.

 

 

 

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 11:26am
d