rap

Lagu raya mesra masyarakat

Oleh Najiy Jefri

SARANAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya stesen-stesen radio tempatan memainkan lagu menceriakan pada Aidilfitri tahun ini disambut baik stesen radio ternama tempatan.

Antaranya dua stesen radio Media Prima Berhad, Hot FM dan Kool FM serta stesen radio popular milik Astro, Era, Sinar, Gegar dan Zayan.

Ketua Program Hot FM, Ainul Farhana Razali berkata, pemilihan lagu raya yang dimainkan tahun ini menitikberatkan sensitiviti masyarakat yang tidak dapat pulang meraikan Aidilfitri bersama keluarga di kampung susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan Covid-19.

"Lagu-lagu raya yang dimainkan lebih berunsur kepada kemeriahan dan motivasi untuk mewujudkan 'mood' positif kepada pendengar. Lagu-lagu sedih dan syahdu masih dimainkan dan kami mencari keseimbangan yang terbaik dalam memainkan lagu-lagu sebegini untuk memenuhi mood raya tahun ini. Sebagai saluran media, kami bertanggungjawab untuk memberi mesej positif kepada pendengar supaya Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi menjadi sesuatu bermakna kepada semua," katanya.

Ketua Program Kool FM, Raja Khairil Idris berkata, kriteria utama untuk lagu dimainkan di Kool FM adalah lagu-lagu mesra telinga dan lagu-lagu raya popular yang bersesuaian dengan keadaan terkini.

"Sebagai stesen radio yang lebih matang, kami memberi penekanan kepada pemilihan lagu yang boleh membuatkan pendengar menyanyi bersama apabila lagu ke udara.

"Kami juga perlu peka dengan sentimen dan situasi di negara kita sekarang, jadi lagu-lagu yang dijadualkan haruslah memberikan suasana yang ceria dan menaikkan semangat pendengar. Itu adalah tanggungjawab sosial kami sebagai saluran media," katanya.

Sementara itu, Pengurus Rangkaian Kandungan Jenama Radio Melayu Astro, Nazri Noran berkata, lagu raya tetap dimainkan namun bersesuaian dengan musibah Covid-19 ketika ini.

"Stesen radio di bawah Melayu Astro Radio tetap akan memainkan lagu raya bagi meraikan hari lebaran yang disambut setiap tahun dan mengubat kerinduan pendengar.

"Namun, tidak semua lagu yang pernah dimainkan tahun-tahun sebelumnya dapat diputarkan lagi. Hanya lagu-lagu tertentu dan bersesuaian saja disajikan kepada pendengar demi menjaga sensitiviti.

"Setiap stesen radio Astro akan memainkan lagu raya yang mengikut citarasa dan sasaran pendengar. Malah sebelum dimainkan kami akan melihat terlebih dahulu kandungan lirik lagu itu supaya mengikut keadaan semasa dalam negara sekarang," katanya.

Baru-baru ini, Muhyiddin dalam satu kenyataan memohon maaf kepada rakyat Malaysia apabila mengumumkan pulang ke kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tahun ini adalah tidak dibenarkan.

Ia berikutan pelaksanaan PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun, sebagai langkah untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.

 

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 11:13am
d