rap

Sepakat pilih 'post-rock'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

TAHUN 2015 menyaksikan pembentukan kumpulan MIM apabila tiga anggotanya iaitu Kamil, Abby dan Am bertemu di kampung mereka di Kuantan, Pahang dan berlatih bermain muzik bersama-sama.

Beberapa bulan kemudian, ketiga-tiganya mendapat kerja di Kuala Lumpur dan ia menjadi titik permulaan mereka bermain muzik dengan lebih serius.

MIM yang kemudian dianggotai Kamil (bass), Abby (drum), Has (gitar) dan Opi (synth/keys) memilih tampil dengan genre muzik post-rock.

Kamil berkata, mereka sepakat untuk memilih muzik post-rock kerana terpukau dengan kehebatan genre terbabit.

"Ia kerana kebanyakan pemain genre ini mampu mengulit perasaan pendengar tanpa sebarang vocal atau dengan vokal yang sangat minimal. Persembahan kami lebih terarah kepada instrumental. Nama MIM dipilih daripada hukum tajwid yang mewajibkan pembaca untuk berhenti.

"Nama ini sebagai simbolik bagi kebanyakan pendengar genre ini yang seringkali berhenti dan duduk diam ketika mendengar lagu post-rock," katanya.

Bermula dengan tiga demo yang dimuat naik di Soundcloud, mereka mula mengorak langkah dalam pentas persembahan alternatif pada 2016 dengan menganjurkan sendiri gig bersama beberapa rakan yang lain seperti Hacktick!, Glistening Redchair, Seikan No dan Box for Letters.

Dari beberapa siri gig yang dianjurkan sendiri, MIM mula mendapat jemputan gig lain sehingga pada tahun ini, mereka antara yang tersenarai membuat persembahan di Rockaway Festival 2020.

Ia sebuah festival rock antarabangsa yang turut menampilkan nama seperti Atreyu, Lacuna Coil, Hujan, Datuk M Nasir dan Masdo.

"Pada 27 April lalu, kami mengeluarkan EP yang berjudul Runut Dalam Jeda. Jualan EP ini dilakukan secara digital buat masa sekarang, manakala jualan fizikal akan menyusul selepas tamatnya wabak Covid-19.

"Pembeli bakal menerima EP ini terus dalam peranti mereka secara muat turun digital. Rekaan kulit hadapan mendapat sentuhan pengarah seni kami sendiri, iaitu Huzaifah Mahmud. Dia juga pernah mereka cover single kami pada 2018 yang berjudul Space and Sound," katanya.

Kamil berkata, Runut Dalam Jeda mengandungi enam lagu dan berdurasi lebih daripada 30 minit.

"Ia turut memuatkan single kami yang dilancarkan seminggu lebih awal iaitu Kodokushi. Ia adalah lagu berkisar mengenai masalah sosial di Jepun, di mana ramai orang tua mati keseorangan di apartmen kecil mereka tanpa disedari sesiapapun sehinggalah ditemui tiga hingga empat bulan berikutnya.

"Proses rakaman dibuat sejak pertengahan tahun lalu dengan lagu ciptaan kami sepenuhnya. EP ini adalah sebuah produk DIY (Do It Yourself) kami kerana semuanya dibuat sendiri," katanya.

Menyedari lagu-lagunya yang tidak mesra radio kerana berdurasi melebihi empat minit bagi setiap lagu, MIM berharap peminat boleh menerima muzik mereka.

"Ini kerana peminat muzik sekarang kebanyakannya bergantung kepada pelayaran muzik secara atas talian seperti pengguna Spotify dan iTunes.

"Kami juga yakin peminat muzik neo-klasikal ataupun muzik runut filem (OST) seperti Hans Zimmer mampu menerima lagu kami," katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 6:30am
d