rap

Gantung 'banner' tak terima kunjungan tetamu - Rosyam Nor

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON terkenal, Datuk Rosyam Nor sepakat bersama adik beradik dan keluarga lain untuk tidak menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah ibu mereka yang terletak di Kampung Melayu Subang, Selangor.

Rosyam juga mengingatkan kepada sanak saudara lain supaya tidak menziarahi ibunya yang kini berusia 80 tahun.

Pesanan itu dikongsi Rosyam di Instagram menerusi sepanduk yang digantung di hadapan rumah ibunya.

"Menyahut arahan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Walaupun rumah mak dekat saja di Kampung Melayu Subang iaitu 10 minit dari rumah saya, tapi sebab mak dah umur 80 tahun, kami sekeluarga dan keluarga adik beradik yang semuanya tinggal di Kuala Lumpur mengambil keputusan untuk tidak balik kampung beraya tahun ini.

"Sebab gantung 'banner' kerana takut kami tak balik, tapi orang lain pula datang. Sebab kalau raya, rumah mak menjadi tumpuan beratus anak cucu dan anak cucu saudara.

"Sebab dalam keluarga mak, dia saja yang masih hidup. Jadi, anak cucu semua akan datang bertandang. Maafkan kami sekeluarga, untuk kebaikan bersama. Insya-Allah, ada umur tahun depan, kita raya sakan, okay," katanya.

Pada sepanduk itu, tertera ucapan sempena Aidilfitri daripada keluarganya dan pesanan untuk melakukan panggilan video sahaja bagi menggantikan tradisi kunjung mengunjung.

"Kami sekeluarga, Biahsudin (Wok), mengucapkan selamat hari raya maaf zahir dan batin. Mohon maaf tahun ini kami sekeluarga tidak terima kunjungan. 'Video call' saja," tulisnya.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 5:19pm
d