rap

Pelakon Balkisyh bebas Covid-19

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

PELAKON Balkisyh Semundur Khan, 33, bersama anaknya Nur Qalesya Mohd Aizat, 11, dan Muhammad Nor Qaisyh Khan, 6, disahkan bebas wabak Covid-19 selepas 14 hari dikuarantin di Pusat Kuarantin di Hotel Amansari, Nusajaya, Johor.

Pelakon yang lebih terkenal dengan watak Atul atau Saidatul dalam drama bersiri popular Mak Cun itu keluar daripada Pusat Kuarantin di Hotel Amansari, Nusajaya pada 9 pagi, semalam.

Balkisyh berkata, dia dan dua anaknya bersyukur kerana disahkan bebas daripada Covid-19.

"Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan kami pada setiap hari menjelang hari-hari terakhir tempoh kuarantin itu. Bimbang sekiranya ada di antara kami yang tidak sihat seterusnya perlu menyambung lagi tempoh kuarantin di situ.

"Alhamdulillah dua ujian Covid-19 yang dijalani termasuk ujian pada darah mengesahkan kami bebas daripada Covid-19," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Tambahnya, dia berasa sangat gembira kerana hasratnya untuk beraya bersama anak-anak dan keluarga tercapai pada tahun ini.

"Sebelum ini saya dibelenggu kesedihan kerana terpaksa berpisah dengan anak-anak yang terkandas di Singapura selama 48 hari.

"Tetapi segala kesedihan itu terubat apabila kami akhirnya dapat bersama dan disahkan bebas Covid-19 seterusnya dapat menyambut perayaan Aidilfitri bersama.

"Saya berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang banyak membantu, menjaga, memberi semangat dan layanan mesra kepada saya serta anak-anak sepanjang berada di pusat kuarantin itu." katanya.

Menurutnya, dia akan menjalankan perniagaan produk makanan kesihatan secara dalam talian sementara Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa.

"Apabila keadaan semakin pulih dan kerajaan memberi kebenaran kepada produksi untuk menjalankan pergambaran drama dan filem, saya akan aktif semula dalam bidang lakonan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pelakon Balkisyh Semundur Khan, 33, terpisah selama 48 hari dengan dua anaknya yang berada di Singapura.

Sebaik sahaja PKPB berkuat kuasa dia membawa pulang anaknya, Nur Qalesya Mohd Aizat, 11, dan Muhammad Nor Qaisyh Khan Mohd Aizat, 6, yang terkandas di Singapura pada 6 Mei lalu sebelum mereka dikuarantin selama 14 hari di Pusat Kuarantin di Hotel Amansari, Nusajaya, Johor.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 5:21pm
d