rap

'Mereka tak tahu' – Nissa Khan

Oleh Georgie Joseph

WALAUPUN kesan solekan watak Opah Aminah lakonan Shiela Rusly dalam drama bersiri popular Bukan Gadis Biasa mendapat kecaman warganet, jurusoleknya Nissa Khan berlapang dada menerima secara terbuka kritikan itu.

Nissa berkata, dia tidak ambil hati kerana tahu penonton sebenarnya tidak tahu-menahu bagaimana cabaran serta kesukaran melunaskan tugasan itu di belakang tabir.

"Sebenarnya saya okay saja orang kutuk, kritik dan ada juga yang beri komen baik. Untuk itu saya sangat berterima kasih dan menghargainya. Bagi yang komen kasar, tak apa, saya memang terbuka dan ambil benda yang baik untuk memperbaiki mutu kerja saya.

"Mereka tak faham apa yang berlaku di belakang tabir, tapi sebagai penonton mereka ada hak bersuara. Contohnya apabila mereka persoalkan mengenai tangan tak nampak, tetapi sebenarnya ketika penggambaran ia ada dalam monitor," katanya.

Nissa berkata, dia ada alasan tersendiri mengenai perkara itu. Cara solekan untuk bahagian tangan adalah berbeza dengan bahagian muka.

"Bila penonton kata tangan dia nampak tak berapa tua, saya tak boleh gunakan silikon prostetik pada bahagian itu. Cuaca Malaysia panas dan penggambaran drama mengejar masa.

"Disebabkan itu, saya solek bahagian tangannya menggunakan teknik asas solekan penuaan. Saya tak boleh buat lebih-lebih memandangkan untuk menyolek wajah Sheila pun sudah mengambil masa tiga jam," katanya.

Menjawab kritikan mengenai mekap wajah Shiela koyak dan sebagainya, Nissa berkata, dia mengakui mungkin dia terlepas pandang terhadapnya tanpa sedar.

"Sebenarnya, silikon prostetik pada bahagian wajah itu boleh tahan selama enam jam saja. Watak Opah Aminah pula banyak memerlukan dia makan, bergerak, dan sebagainya walaupun kena 'touch up' berkali-kali.

"Mungkin dari sudut itu, kami terlepas pandang terutama penggambaran memang mengejar masa. Saya tak salahkan sesiapa apabila penonton pertikai," katanya.

Bagaimanapun, Nissa menyifatkan adalah tidak munasabah apabila penonton turut membandingkannya dengan solekan Erra Fazira dalam filem Hingga Hujung Nyawa.

"Warganet perlu faham, bajet untuk drama tidak besar. Jadi tidak patut bandingkan hasil kerja untuk drama dengan filem. Contohnya apabila mereka bandingkan solekan itu dengan solekan tua Erra. Kalau cari dalam Google, bajet solekan saja memakan kos RM400,000 dan masa digunakan pun lebih panjang iaitu lima hingga enam jam.

"Apabila saya lihat sendiri proses solekannya, ada tiga atau empat orang yang lakukan solekan itu. Saya pula melakukannya berseorangan dan cuma ada masa tiga jam saja. Jadi, orang tak patut bandingkan mengenai hal itu," katanya.

 Nissa yang memiliki tiga sijil sebagai jurusolek kesan khas dan pernah menyambung pengajiannya dalam bidang terbabit di Cinema Make Up School, Los Angeles, Amerika Syarikat.

 

Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 6:17pm
d