rap

One Love Asia untuk tabung Unicef 

Oleh Georgie Joseph

WEBTVASIA bersama YouTube mengumumkan penganjuran konsert One Love Asia bertujuan menyalurkan bantuan kepada Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) secara strim siaran langsung pada 27 Mei ini, jam 8 malam, menerusi saluran YouTube rasmi One Love Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif WebTVAsia, Fred Chong berkata, konsert membabitkan lebih 50 artis Asia termasuk dua penyanyi Malaysia iaitu Zizi Kirana dan Ismail Izzani adalah usaha murni untuk memerangi pandemik Covid-19 menerusi hiburan amal.

"Ini adalah satu daripada inisiatif terbesar komuniti hiburan Asia untuk menunjukkan sokongan kepada Unicef menerusi satu mesej padu, kasih sayang dan perpaduan. Kami sangat berterima kasih kepada semua yang terbabit menyumbang untuk konsert khas ini.

"Seramai lebih 50 artis, figura awam, selebriti, dan pengamal YouTube bakal terbabit menjayakannya. Semua hasil derma daripada strim siaran langsung itu disalurkan kepada Unicef.

"Konsert One Love Asia ini adalah sebuah usaha bersama untuk membendung pandemik terkini daripada terus menjadi krisis jangka masa panjang terutama buat anak-anak kecil yang masih rapuh," katanya.

Konsert itu bakal membariskan penyanyi popular termasuklah Choi Siwon, Exile Akira, Karen Mok, Apink Jung Eun-Ji, Namewee, G.E.M., Chi Pu, Sam Tsui, Ranz & Niana, Davika Hoorne, Jack Neo, Morissette dan Boy William.

Tidak ketinggalan, Ice Paris, Pearwah, Christian Bautista, Baim Wong, Raditya Dika, Quang Dang, DatG & DuUyen, Erik, Inul Daratista, Celine Tam, Priscilla Abby, dan HaoRen.

Strim siaran langsung berkenaan boleh diikuti menerusi pautan www.youtube.com/c/oneloveasia, manakala sumbangan derma boleh dibuat dengan menekan klik pada butang 'Donate Now'.

Semua hasil derma sewaktu siaran langsung itu akan terus masuk ke dalam akaun rasmi Unicef dan derma masih boleh dilakukan selama 30 hari selepas konsert.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 6:50pm
    d