rap

'Jangan datang rumah orang tua saya – Haiza

Oleh Sudirman Mohd Tahir

 

"MAAF, saya terpaksa cakap dan maklumkan supaya tidak berkunjung dan berziarah ke rumah ibu bapa saya di Benut, Pontian, Johor sempena Aidilfitri hari ini," kata penyanyi, Haiza Hanafi mengenai tindakannya memuat naik status itu di Facebook.

Haiza, 40, atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin berkata, dia perlu bertegas dalam perkara itu kerana ibu bapanya sudah berusia iaitu bapanya berusia 83 tahun dan ibu, 69 tahun.

Menurut Haiza, dia berharap tidak ada sanak-saudara dan jiran yang bekecil hati dengan perkara itu.

"Orang lain pun akan berasa perkara sama juga. Ini kerana wabak Covid-19 ini kita tak nampak. Kalau tak kena bolehlah cakap macam-macam. Nanti dah kena, lagi susah. Jadi, kesedaran sangat penting.

"Tak dapat balik kampung tak apa. Kalau balik kampung pun, mesti cakap perkara sama pada saudara mara supaya jangan datang. Dalam kumpulan Whatsapp keluarga, semua sepupu ada bertanya, tapi mak saya jawab untuk tahun ini tak perlu datang dan mereka pun faham.

"Terima kasih pada Datuk Rosyam Nor sebab dia berkongsi gambar sepanduk mengenai perkara sama. Dari situ kita boleh kongsi dan dalam masa sama beri kesedaran pada orang ramai yang kadang kurang arif. Kedua ibu bapa saya sudah tua, jadi mohon sangat untuk memahami," katanya kepada Harian Metro.

Haiza yang juga penyampai radio Kool FM berkata, dia bersama suami dan anak mengikut saranan kerajaan supaya tidak balik kampung atau merentas negeri.

"Tidak mengapalah kalau tak dapat balik kampung. Raya masih boleh disambut. Teknologi ada, jadi masih boleh berhubung. Lagipun, kita tidak tahu tahap kesihatan macam mana.

"Apatah lagi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kedua ibu bapa memang di rumah saja. Alhamdulillah, mereka okay dan tak ada apa-apa.

"Kebetulan adik lelaki memang duduk dengan mereka. Kakak yang bekerja di Johor Bahru dapat kebenaran untuk balik raya di kampung.

"Jadi, mak dan ayah tak sunyi. Cuma, saya pesan pada kakak pastikan tak demam, batuk dan selesema. Kena buat pemeriksaan dulu. Dia kata semua okay," katanya.

 

Disiarkan pada: May 24, 2020 @ 3:16pm
d