rap

'Sudah cuba yang terbaik'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

 

PENERBIT dan pelakon Datuk Hans Isaac mengesahkan pembatalan kontraknya sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkuatkuasa mulai semalam.

Hans berkata, perkara itu diumumkan menerusi surat kiriman Menteri Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah kepadanya.

Hans turut memuat naik kandungan surat terbabit di Instagram dan meluahkan isi hatinya sepanjang memegang jawatan itu bermula 8 April tahun lalu.

"Dalam tempoh beberapa bulan sebagai Pengerusi Finas, saya sudah cuba yang terbaik untuk industri ini walaupun berdepan dengan tatacara dan cabaran birokrasi dalam agensi kerajaan.

"Sebenarnya saya sudah membangkitkan keresahan penggiat industri filem dan drama kepada Menteri sebelum pandemic Covid-19 bermula. Saya sudah memohon berjumpa untuk saya bentangkan langkah-langkah pro-aktif, namun tidak ada ruang diberikan sehingga hari ini," katanya.

Hans berkata, dia peka dan mendengar suara penggiat seni untuk menuntut penjelasan Finas mengenai cabaran kini, namun  terikat dengan arahan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Namun atas tanggungjawab sebagai anak seni, saya teruskan untuk mendesak kerajaan untuk memberikan maklum balas kepada tuntutan mereka. Saya bersyukur dapat bertemu dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk membincangkan survival industri.mPertemuan berlangsung dengan sangat baik di mana saya menerangkan permasalahan industri dari sudut ekonomi dan apakah yang perlu dilakukan oleh kerajaan," katanya.

Menurutnya, dia sudah menyerahkan kertas cadangan kepada Menteri Kewangan untuk Dana Rangsangan Ekonomi dan Kebajikan untuk segera dilaksanakan untuk 'survival' industri kreatif.

"Saya berharap ia dapat dilaksanakan dengan segera dan memberi manfaat kepada ahli industri berdepan cabaran ini. Kepada ahli industri, saya ingin menyebut mungkin saya bukan orang yang terbaik tapi saya sudah lakukan apa yang terbaik daripada pihak saya.

"Sebagai anak seni yang berpengalaman selama 30 tahun, perjuangan saya untuk membela industri ini tidak akan berakhir di sini," katanya yang memohon maaf sekiranya ada menyinggung perasaan mana-mana pihak sepanjang tempoh memegang jawatan Pengerusi Finas.

Hans berkata, perjuangannya adalah untuk kebaikan industri seperti simpaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk warga industri, dana kebajikan dan lain-lain akan terus diperjuangkan.

"Tanpa jawatan Pengerusi Finas, maka sekarang saya bebas bersuara tanpa sebarang tatacara. Semoga semua yang diperjuangkan akan dilaksanakan dan ini hadiah saya kepada semua ahli industri sempena Aidil Fitri," katanya.

Semalam, Saifuddin mengumumkan ahli perniagaan dan aktivis masyarakat, Zakaria Abd Hamid dilantik sebagai Pengerusi baharu Finas, berkuat kuasa semalam.

  Beliau turut mengumumkan pelantikan Presiden Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim sebagai Timbalan Pengerusi Finas.

 

Disiarkan pada: May 25, 2020 @ 3:36pm
d