rap

Amin Idris padam gambar pegang Loki Scepter

Oleh Sudirman Mohd Tahir

 

PENGACARA dan penceramah motivasi, Amin Idris, 39, bertindak memadam gambar dan memohon maaf kerana memegang Loki Scepter ketika membacakan khutbah Hari Raya Aidilfitri yang disambut kelmarin.

 

Ia susulan teguran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada umat Islam supaya tidak menjadikan tongkat khutbah sebagai bahan lawak sebagaimana yang tular di media sosial.

 

"Sebagai tanda menerima teguran menteri, dengan hati terbuka saya padam gambar khutbah pegang Loki Scepter dan mohon ampun pada Allah SWT. Reda Allah lebih penting dari tanda suka dan perkongsian manusia.

 

"Mungkin dalam isu tongkat khutbah ini ramai yang kata 'niat saya baik, 'saya tak niat nak bergurau pun', 'tak terfikir nak buat lawak pun'. Apa pun, soal niat siapa kita nak persoalkan. Hanya Allah yang tahu apa di hati manusia.

 

"Jadi, apabila Datuk Dr Zulkifli menegur mengenai isu ini saya percaya beliau tidak bercakap tanpa asas dan dalil. Jauh sekali nak menjadi 'joykiller' kerana beliau pasti mahu kita bergembira di hari raya kerana itu perintah agama," katanya.

 

Amin yang juga pengendali program The Amin Idris Show berkata, teguran itu membuatkan dia muhasabah diri untuk lebih berjaga-jaga selepas ini.

 

"Selepas teguran itu, saya mula muhasabah diri. Memang benar, walaupun 'tongkat itu sunat', tapi ia tetap ibadah. Sebagaimana kita berjaga-jaga setiap tindakan dalam ibadah solat, begitu juga dalam soal tongkat walaupun ia sunat

 

"Jadi apa yang terbaik, saya terus padam dan mohon maaf atas keterlanjuran dan kesilapan saya. Ditambah pula yang menegur adalah insan yang alim dan jauh lebih baik amal solehnya berbanding saya yang solat malam pun jarang sekali.

 

"Sekali lagi saya mohon maaf. Apa pun, isu ini adalah ruang dan peluang untuk yang tak tahu mula tahu. Insya-Allah, saya akan bawa isu ini dalam program #TheAminIdrisShow," katanya.

 

Menerusi status yang dimuat naik, Amin turut menyertakan petikan hadis dan fatwa Jabatan Mufti Perlis yang menyentuh mengenai tongkat khutbah.

 

Tindakan Amin itu mendapat maklum balas positif pengikut di laman sosial selain ada yang mengambil pendekatan sama dengan memadam gambar dimuat naik.

 

Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 2:51pm
d