rap

Mimpi ngeri Mathni di pagi raya

Oleh Syafil Syazwan Jefri

 

PELAKON, Mathni Razak berdepan situasi cemas apabila pejabatnya yang terletak di Kajang, Selangor hampir dirompak pada pagi 1 Syawal lalu.

   Mathni berkata, dia menyedari perkara itu selepas terdengar bunyi barang terjatuh.

  "Saya bersama keluarga memang habiskan masa sepanjang malam sehari sebelum raya untuk menyediakan kerepek dan beberapa barang jualan.

  "Jadi, kami berada di sana sehingga pagi dan sempat tidur sebentar sebelum Subuh. Lebih kurang jam 7.30 pagi, saya terdengar bunyi seperti ada benda terjatuh dan agak kuat," katanya kepada Harian Metro.

  Menurut Mathni, dia melihat kelibat dua lelaki lengkap bertopeng dan bersarung tangan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di pejabatnya.

  "Pada awalnya, saya ingat mereka adalah polis yang membuat rondaan. Namun, saya rasa berasa ragu kerana ada tindak tanduk mereka yang nampak mencurigakan.

  "Apabila saya perhatikan, mereka memecah masuk ke pejabat yang terletak di tingkat bawah. Saya terus menghubungi polis dan pada masa sama, meminta bantuan rakan yang tinggal berhampiran.

  "Tiga kali saya cuba menghubungi polis, namun masih belum ada sebarang tindakan. Jadi, saya terpaksa bertindak dengan menghentak dinding apabila mereka sudah mula naik ke tingkat atas dan akhirnya melarikan diri. 

Disebabkan itu, Mathni berkata, dia menghabiskan hampir keseluruhan sambutan hari pertama Aidilfitri untuk membuat laporan polis.

  "Polis tiba di tempat kejadian sekitar jam 9.30 pagi. Saya tak pasti sama ada ini tindakan wajar atau tidak.

  "Risau juga sebab dalam tempoh dua jam itu macam-macam boleh berlaku contohnya, saya sekeluarga termasuk anak yang masih kecil mungkin boleh disamun dan dicederakan," katanya.

Mathni menjelaskan, kejadian sama pernah berlaku pada 2018 yang mana pejabatnya juga pernah hampir dirompak masuk melalui bumbung.

Mathni berkongsi, dia banyak menghabiskan masa di pejabat yang dijadikan sebagai pejabat virtual untuk mereka yang baru memulakan perniagaan selain tempat menjalankan perniagaan makanan dan bundle.

 

Disiarkan pada: May 26, 2020 @ 7:14pm
d