rap

Konsert Super Junior di KL batal

Oleh Georgie Joseph 

KONSERT Super Junior World Tour – Super Show 8: Infinite Time in Kuala Lumpur yang sepatutnya ditunda kini diumumkan batal oleh penganjurnya Star Planet.

Menerusi kenyataan media rasminya, kata sepakat membatalkan acara itu dipersetujui semua pihak selepas mempertimbangkan situasi pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

"Meskipun banyak usaha cuba dilakukan semua pihak terbabit untuk meneruskan acara ini, kata sepakat akhirnya dicapai bahawa penjadualan semulanya tidak mungkin dapat diadakan pada tahun ini disebabkan impak pandemik Covid-19.

"Kawalan perjalanan dan pelbagai kemungkinan lain sepanjang perintah sekatan oleh kerajaan terhadap perhimpunan beramai-ramai menjadikan konsert secara langsung tidak wajar diadakan sekarang.

"Star Planet memohon maaf kepada semua peminat yang ternanti acara itu dan komited untuk membawa kembali acara berkenaan pada masa akan datang," demikian pengumuman itu.

Proses pemulangan wang pembelian tiket juga akan dilakukan bermula 11 Jun nanti. Untuk maklumat lanjut mengenai urus niaga berkenaan, boleh didapati menerusi laman web www.starplanet.com.my.

Penganjur juga meminta pembeli tiket yang mahu wang mereka dikembalikan supaya menghubungi Star Planet di talian 03 9223 3667 atau menghantar emel ke alamat SS8.ticketing@starplanet.com.my.

Terdahulu, konsert yang sepatutnya berlangsung pada 1 Mac lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil itu diumumkan ditunda ke satu tarikh lain pada Februari lalu selepas situasi Covid-19 mula menjadi teruk.

Disiarkan pada: May 28, 2020 @ 8:17pm
d