rap

'Oscar... ia gurauan impian saya' - Zakaria

Oleh Norhayati Nordin

PENGERUSI baru Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid menyambut baik komen dan pandangan membina disuarakan komuniti penggiat seni berikutan impiannya mahu membawa industri perfileman negara ke peringkat Anugerah Academy atau Oscar.

Impian besar Zakaria itu disuarakan sekadar berseloroh ketika sidang media di Kompleks Finas pada Rabu lalu selepas perlantikannya berkuat kuasa 23 Mei lalu menggantikan Datuk Hans Isaac.

"Terima kasih dan saya menyambut baik komen serta pandangan membina yang disuarakan komuniti penggiat seni. Insya-Allah, mana-mana yang sesuai akan kami (pihak Finas) jadikan panduan merangka dan mengemaskini  hala tuju Finas dalam industri kreatif negara.

"Apapun, ada sedikit polemik berkaitan seloroh (gurauan) impian saya ke Oscar yang mendapat perhatian pelakon Tony Eusoff serta Sharifah Amani di media sosial. Saya gembira kerana ada penggiat seni yang ambil berat mengenai Finas.

"Memang keutamaan kita di Finas sekarang berkait dengan kebajikan warga penggiat seni disebabkan pandemik Covid-19 dan seterusnya lain-lain isu yang masih belum selesai sebagaimana dalam kenyataan media dikeluarkan," katanya.

Menurutnya, impian ke Oscar itu juga adalah keinginan jangka panjang Finas selepas perancangan terperinci dilakukan.

Ujarnya, ia impian sama orang sukan mahu ke Olimpik untuk harumkan nama negara.

Sehubungan itu, menerusi kenyataan media Finas pula memaklumkan pihak perbadanan terbabit akan melaksanakan pelbagai inisiatif yang progresif untuk memacu semula ekonomi bagi industri kandungan kreatif berteraskan Wawasan Kesejahteraan Bersama 2030.

"Pelan tindakan itu sangat penting dan diberikan keutamaan di kala ekonomi negara dibuka semula akibat penularan Covid-19 yang menjejaskan pendapatan warga industri sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa pada 18 Mac lalu," katanya.

Menurutnya, selain itu, pelan jangka panjang juga akan diperkemaskan untuk mencapai kecemerlangan industri kreatif yang mana cadangan dan pandangan pemegang taruh industri akan disepakati.

Beliau berkata, sejak PKP dilaksanakan, Finas juga sudah menyalurkan bantuan kewangan kepada warga industri sebanyak RM120,000 melalui persatuan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan industri kreatif tanah air.

"Finas prihatin dengan nasib warga industri yang masih terkesan dan bersedia untuk terus menyalurkan bantuan kewangan bagi kes berasaskan keperluan mendesak.

"Menyedari sudah 71 hari warga industri tidak dapat menjalankan aktiviti penggambaran yang menjejaskan sumber pendapatan ribuan pekerja dengan kerugian puluhan juta ringgit, sebagai langkah pertama Finas  sudah menyiapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi aktiviti penggambaran dimulakan tidak lama lagi," katanya.

Zakaria berkata, mematuhi SOP penggambaran ditetapkan amat penting kepada warga industri yang dibenarkan bekerja semula di lokasi penggambaran dan pihaknya tidak berkompromi berkaitan perkara membabitkan keselamatan dan kesihatan artis, karyawan serta pekerja.

Berita berkaitan

'Finas tangani dahulu isu dalaman, sebelum fikir Oscar'

Disiarkan pada: May 29, 2020 @ 3:07pm
d