rap

Kami dah putus tunang pun...

Oleh Najiy Jefri

SELEPAS hampir tujuh bulan bergelar tunangan kepada pelakon Syazwan Zulkifly, akhirnya pramugari Syawariah Zulkifli mendedahkan ikatan pertunangan mereka berakhir pada 31 Mac lalu. 

Syawariah atau Sya berkata, dia menganggap perpisahan yang berlaku adalah jalan terbaik selain tiada jodoh antara mereka.

  Katanya, di tahu banyak pihak yang menantikan jawapan apabila Syazwan memuat naik foto bersama wanita lain di Instagram.

"Saya dan Syazwan memutuskan tali pertunangan pada 31 Mac lalu. Saya sendiri memulangkan cincin merisik dan bertunang kepadanya.

"Dalam hal ini, hanya keluarga sahaja yang mengetahuinya. Apa yang berlaku antara saya dan Syazwan, saya anggap sudah tiada jodoh antara kami.

"Biarlah hanya kami sahaja yang mengetahui punca perpisahan ini," katanya menerusi satu entri terbaharu yang dimuat naik di Instagram.

Menurut Sya, dia memilih untuk mengunci mulut berhubung isu gambar bekas tunangnya itu dengan wanita lain. 

"Berhubung isu gambar Syazwan bersama wanita lain, biarlah dia sendiri yang menjelaskannya

"Terima kasih kepada keluarga yang sentiasa ada di sisi pada saat ini. Terima kasih juga kepada mereka yang sentiasa mendoakan saya," katanya.

Terdahulu timbul khabar angin mendakwa Syazwan dan Sya putus tunang apabila pelakon drama 7 Hari Mencintaiku dan Pujaan Hati Kanda itu tidak lagi mengikuti akaun Instagram bekas tunangannya itu.

Lebih menguatkan lagi dakwaan Syazwan memuat naik gambar bersama wanita lain dalam IG seolah-olah memberi gambaran sudah menemui pasangan baharu dan putus tunang. Bagaimanapun, Syazwan bertindak memadam gambar berkenaan beberapa jam kemudian.

 Syazwan dan Sya mengikat tali pertunangan pada 31 Ogos tahun lalu di kediaman keluarga Sya di Taiping, Perak, selepas 10 tahun saling mengenali.

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 4:22pm
d