rap

'Tengok kucing terbiar pun menangis' - Wan Maimunah

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SETIAP kali menerima kehadiran tetamu yang berkunjung, pelakon veteran Wan Maimunah, 67, pasti akan menangis terharu.

Bukan berlakon atau sengaja dibuat-buat sebaliknya pelakon bernama sebenar Wan Maimunah Wan Abdul Aziz atau lebih mesra dengan panggilan ibu ini mengakui, hatinya mudah tersentuh kerana masih diingati dan dihargai pelbagai pihak.

Hari ini air matanya gugur lagi apabila menerima kunjungan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez dan wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

"Saya memang cepat emosi dan mudah menangis. Bukan membabitkan manusia sahaja tapi kalau tengok kucing terbiar pun saya akan menangis.

"Saya amat berterima kasih kepada Datuk Freddie dan pihak kementerian kerana ingat pada saya. Setiap yang baik pasti baik juga balasannya. Saya tak dapat membalasnya.

"Bagaimanapun, selepas solat Subuh tadi, saya mendapat ilham mahu menghadiahkan sekeping wang RM1 kepada setiap yang hadir hari ini sebagai tanda kenangan," katanya sambil menangis.

Menurutnya, wang kertas yang ditandatanganinya itu pasti akan berharga selepas ketiadaannya nanti.

"Tandatangan ini diturunkan pada tarikh bersejarah 1 Jun 2020. Keputusan ini terlintas tiba-tiba. Wang ini pun ikut siri yang sudah lama saya simpan," katanya.

Ditanya sekiranya ada peminat yang berminat memiliki wang ini, Wan Maimunah berkata, dia akan mempertimbangkannya.

"Insya-Allah kalau ada permintaan, saya akan wujudkan kelab peminat Wan Maimunah. Saya akan usahakannya dengan bantuan anak-anak. Mudah-mudahan akan dapat sokongan peminat," katanya.

Dalam pada itu Wan Maimunah berkata, dia tidak pernah mempunyai sebarang akaun laman sosial seperti Instagram dan Facebook.

"Sebelum ini ada orang daftarkan Instagram guna nama saya dan letak gambar. Saya terpaksa buat laporan polis kerana tak nak disalahguna.

"Saya sebenarnya tak berminat nak ada Instagram dan Facebook kerana pada usia begini memang malas nak tengok telefon," katanya.

Pelakon yang dikenali sebagai bintang air mata itu dikunjungi sempena Lawatan Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat (PKPB) Aidilfitri Karyawan & Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia di kediaman anaknya di Kota Puteri, Batu Arang, Selangor.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 5:43pm
d