rap

Hans Isaac terkilan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

BEKAS Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac terkilan apabila tidak diberi peluang untuk menyerahkan buku laporan mengenai kejayaan yang dicapai Finas sepanjang 13 bulan memegang jawatan itu kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Hans berkata, dia sepatutnya menyerahkan buku laporan itu sebelum jawatannya ditamatkan pada 23 Mei lalu, namun gagal berbuat sedemikian apabila tidak mendapat maklum balas daripada pihak berkenaan.

"Sepatutnya apabila berlaku pertukaran jawatan perlu ada acara rasmi penyerahan tugas, tapi ini tidak ada langsung. Tak mengapalah sebab dari awal lagi saya sudah berasakan akan ditamatkan kontrak.

"Tempoh empat bulan terakhir itu saya agak terbatas. Sepanjang tempoh itu juga saya menunggu jawapan daripada pihak menteri untuk berjumpa supaya dapat serahkan buku laporan ini. Memang tak dapat jumpa langsung sehinggalah saya dapat surat penamatan kontrak.

"Dalam laporan itu, saya menyenaraikan 26 pencapaian dicapai Finas sepanjang 13 bulan saya selaku Pengerusi. Walaupun dalam tempoh singkat, saya bangga. Paling penting saya dapat mengukuhkan kembali kewangan Finas yang sebelumnya tidak terurus. Bukan mudah nak buat semua itu. Kementerian Kewangan maklumkan itulah pertama kali akaun Finas okay," katanya.

Antara kejayaan lain yang disenaraikan Hans dalam buku laporan itu adalah harga kontrak RTM membabitkan peningkatan 30 peratus, menetapkan kos lantai permohonan Insentif Filem Malaysia (FIMI) untuk penerbitan tempatan sebanyak RM1.5 juta, mencadangkan MySkrin bagi memperkasakan Skim Wajib Tayang Finas, menyelesaikan kes tertunggak yang membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bernilai RM29 juta bagi sembilan projek dan banyak lagi.

Dalam masa sama, Hans menafikan dakwaan segelintir pihak dia dan Finas tidak buat kerja dan ambil peduli terhadap masalah penggiat industri yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

"Saya tidak dibenarkan mengeluarkan apa-apa kenyataan. Tangan saya seperti terikat. Saya dikecam dan dikatakan tak buat kerja dan cuba bantu penggiat industri sedangkan Finas sudah menyediakan pelan dari segi dana dan bantuan. Saya baca setiap komen yang dilemparkan kepada saya daripada beberapa persatuan, tapi saya diamkan saja," katanya.

Ditanya adakah dia bersedia untuk bekerjasama dengan Pengerusi Finas yang baharu iaitu Zakaria Abd Hamid, Hans terbuka untuk memberikan bantuan selain ingin menyerahkan buku laporan sedia ada.

"Jangka masa saya dengan Finas pendek. Namun, saya serahkan sepenuh hati dan diri untuk bekerja dengan Finas. Dari segi usaha saya, markah 10 daripada 10 saya berikan. Cuma, dari segi pencapaian saya letakkan markah 6 daripada 10. Jadi, ada sedikit rasa kecewa di situ.

"Mungkin selepas ini saya nak jumpa Zakaria atau timbalannya Datuk Norman untuk saya serahkan apa yang sudah dibuat ini. Satu mesyuarat pun sudah cukup sebab saya tak ada hak lagi di sana.

"Lagipun, pengerusi baharu pun ada menghantar mesej dan Norman pun ada menghubungi saya. Kalau mereka minta pertolongan, saya tak ada masalah untuk bantu. Saya bersedia untuk bantu demi industri.

"Apa yang saya harapkan juga pimpinan baharu ini dapat meneruskan projek Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang tertangguh sebelum ini," katanya.

Hans dilantik menjadi Pengerusi Finas pada 8 April tahun lalu. Pelantikan Hans berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 itu menggantikan Datuk Samsuni Mohd Nor yang menjalankan tugas sebagai pemangku Pengerusi Finas selama lebih empat bulan.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 6:45pm
d