rap

Terima kasih Running Man!

Oleh Georgie Joseph

Annyeonghaseyo! Buat peminat program fenomena Running Man, sesiapa juga pasti mengingati pelakon Song Ji-hyo.

Ini kerana kemunculannya dalam program terbabit sangat dominan dan dia satu-satunya wanita.

Hakikatnya, rata-rata peminat dunia hiburan Korea Selatan mula mengikuti karier pelakon terbabit sejak dia menyertai program itu.

Dari situ juga dia berjaya membina namanya dan dikenali hingga hari ini.

Song Ji-hyo sendiri mengakui Running Man adalah platform yang meninggalkan impak besar dalam dirinya.

Sebelum ini dia bekerja keras mencari tapak kukuh untuk membuka mata ramai mengenai lakonannya.

Dia juga sedar populariti dikecapinya sekarang lebih luar biasa berbanding bergelar pelakon sebelum itu.

Dia turut bersyukur perkara itu tidak menjadi halangan dalam karier lakonannya sekarang.

"Saya menyedari ramai orang akan terfikir Running Man secara automatik akan teringatkan saya. Bagaimanapun, saya belum pernah berdepan sebarang halangan dalam karier lakonan disebabkan itu.

"Kalau ikutkan, saya tidak ada imej khusus yang menonjol ketika saya belum sertai program terbabit. Ia disebabkan lakonan saya banyak tertumpu kepada projek yang cukup gelap termasuk dalam Wishing Stairs dan Some," katanya.

Song Ji-hyo mengakui banyak impak positif sebenarnya hadir dalam kariernya selepas terbabit program itu.

Baginya, peluang keemasan berkenaan datang tepat buat dirinya demi kelangsungan karier lebih jauh.

Disebabkan itu, dia tidak pernah mahu mengeluh dengan apa yang dimiliki sekarang walaupun banyak pengorbanan perlu dilakukan.

Baik dari segi masa dan tenaga, baginya setiap saat dia perlu memberikan hasil kerja terbaik.

"Menerusi Running Man, saya menerima lebih banyak peluang untuk menunjukkan saya ini pelakon jenis apa. Ia mungkin kelihatan sangat memenatkan di mata orang, namun satu kepuasan tak terhingga buat diri secara peribadi.

"Saya berjaya melakukan semua itu disebabkan dalam kepala saya sudah tertanam corak fikiran sebegitu. Apa juga yang saya cuba mulakan atau usahakan, saya kena berjuang untuk akhirinya dengan baik juga," katanya.

Song Ji-hyo menyifatkan keterbukaan program itu mempamerkan sisi sebenar mereka mengajar dirinya untuk tidak perlu takut lagi terutama apabila menyentuh mengenai pendapat sendiri dan berterus terang dalam sesuatu hal.

"Sama ada dalam drama, filem, atau program sebegitu, saya sentiasa cuba menunjukkan sisi diri sebenar sejujur boleh. Bagaimanapun, saya jadi paling jujur apabila berada dalam Running Man.

"Berada dalam program itu untuk tempoh yang sangat lama mengajar saya banyak perkara termasuk mengatasi ketakutan. Hakikatnya, saya kini tidak perlu takut untuk menjadi diri sendiri di mata ramai sekarang," katanya.

Sementara itu, pelakon terbabit turut membintangi filem berjudul Intruder arahan Son Won-pyung di samping Kim Mu-yeol, Ye Soo-jung, Jang Sung-yoon.

Filem bergenre misteri 'thriller' itu mula ditayangkan semalam.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 6:30am
d